Rugi RM156,225 terpedaya dokumen palsu APM Selangor

Iklan
PDRM mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes penipuan dalam talian dengan menggunakan dokumen palsu Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Selangor.Gambar hiasan

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes penipuan dalam talian dengan menggunakan dokumen palsu Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sejak Januari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menerima enam laporan polis di daerah Kajang, Petaling Jaya, Serdang, Sepang, Kuala Selangor serta Sabak Bernam berkaitan kes penipuan tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, akibat penipuan dalam talian tersebut, pihaknya menganggarkan kerugian berjumlah RM156,225.

"Ekoran daripada laporan diterima, pihak polis membuka enam kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Iklan

"Hasil siasatan mendapati, modus operandi digunakan suspek adalah menghubungi mangsa melalui talian telefon aplikasi WhatsApp dan menyamar sebagai kakitangan APM Negeri Selangor.

"Kumpulan scammer itu menawarkan kerja-kerja pembekalan dan perolehan iaitu menghantar surat tender projek dengan menggunakan 'kepala surat' Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan ditandatangani oleh Pengarah APM yang didapati palsu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Hussein berkata, mangsa diminta menandatangani borang akuan terima jika bersetuju mendapatkan projek tersebut.

Menurut beliau, selepas bersetuju menandatangi borang tersebut, mangsa diminta untuk membekalkan barang-barang dan peralatan yang terdapat dalam tender dengan kadar segera.

Selain itu tambahnya, mangsa juga diarahkan untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek secara dalam talian.

"Apabila mangsa membuat semakan dengan pihak APM Negeri Selangor, mereka mendapati dokumen tersebut adalah palsu dan tawaran tender itu juga tidak wujud.

"Mangsa rasa telah ditipu dengan tawaran tender diberikan oleh suspek," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada orang tidak dikenali.

Tegas beliau, jabatan kerajaan tidak pernah menawarkan apa-apa tender projek melalui aplikasi WhatsApp atau apa-apa aplikasi secara dalam talian.

"Orang ramai dinasihatkan agar membuat pengesahan terlebih dahulu dengan jabatan kerajaan yang terlibat untuk pengesahan kesahihan dokumen yang diberikan secara dalam talian.

"Orang ramai boleh menghubungi mana-mana balai polis atau talian hotline PDRM untuk membuat pertanyaan jika menerima panggilan mencurigakan," ujarnya.