TUKANG cuci kini menjadi sebahagian daripada kerjaya ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga.
Namun, mereka tidak dapat membeli peralatan yang lebih moden seperti mesin penyembur air berkuasa tinggi dan peralatan mencuci berikutan kekangan kewangan.
Bersama Wartawan Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID menyingkap keperluan ibu tunggal dalam meneruskan pekerjaan mereka sebagai tukang cuci.
Ibu tunggal empat anak, Zawanis Idris, 34, mengakui mencari rezeki sebagai tukang cuci di samping bekerja di kedai makan dan menjual makanan laut, etok.
Menurut penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu, cabaran menguruskan empat anak bersekolah berusia lapan, 10, 13 dan 14 tahun menuntutnya melakukan kerja sampingan seperti mencuci rumah dan berniaga.
"Biasanya untuk mencuci jika guna peralatan seperti penyapu atau apa sahaja akan menyebabkan kerahan tenaga lebih banyak, ditambah keadaan rumah sekarang lebih besar dan berbeza berbanding dulu.
"Saya terpaksa lakukan banyak pekerjaan yang memerlukan peralatan khusus seperti penyembur air berkuasa tinggi dan mesin moden bernilai RM3,000 hingga RM5,000 bagi meringankan beban kerja mencuci,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu, Siti Norizan Hussin, 42, turut berkongsi kisahnya yang bekerja sebagai pembantu di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dengan pendapatan bulanan RM1,000 dan mengambil upah mencuci rumah atau pejabat secara kecil-kecilan secara sampingan.
Menurut Siti Norizan, sebagai pesakit jantung, dia juga memerlukan peralatan seperti mesin penyedut untuk membantunya membersihkan rumah selain modal untuk menggaji pekerja.
"Upah mencuci rumah biasanya hanya sekitar RM100 hingga RM300 selain perlu membayar upah pekerja. Itu yang saya masih belum mampu.
"Saya juga memerlukan modal bagi membeli peralatan dan bahan pencuci untuk kerja pembersihan, lebih-lebih lagi kosnya agak tinggi dan semua barangan agak mahal,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi tukang cuci, Nor Halyna Hanafi, 35, mengakui menggunakan modal sendiri membeli peralatan mencuci dan sabun untuk digunakan ketika mendapat upah melakukan kerja pembersihan.
Ujarnya, ada kalanya tuan rumah bersimpati dan bermurah hati memberi barangan seperti mesin penyedut habuk dan mesin rumput.
"Ada barangan diberikan rosak sedikit, saya akan membaikinya dan boleh digunakan.
"Saya pernah terima mesin rumput baharu disedekahkan tuan rumah manakala belum mampu untuk membeli peralatan pembersihan seperti mesin penyembur air dan pencuci lantai,” ujarnya.
Ibu tunggal bekerja harap bantuan modal permulaan, kos peralatan
Di KOTA BHARU, bantuan modal atau peralatan sangat diperlukan bagi meringankan bebanan ibu tunggal yang terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mencuci dan mengemas rumah.
Usahawan khidmat cuci rumah, Idayu Supianminasauri, 32, berkata, bidang itu mempunyai potensi besar untuk menambah pendapatan walaupun dilakukan di negeri ini dan bukan di bandar besar seperti di ibu negara.
"Zaman sudah berubah, mereka yang berada di Kelantan juga sibuk bekerja sama seperti di Kuala Lumpur dan tidak sempat mencuci atau mengemas rumah.
"Jadi, perkhidmatan mencuci rumah dilakukan ibu tunggal boleh diperhebatkan lagi seperti menyediakan pembiayaan membeli peralatan atau menggaji pekerja,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Seorang lagi pemilik syarikat cuci, Rohaiza Shamsudin, 28, berkata suntikan modal penting untuk membolehkan mereka yang menjalankan kerja mencuci rumah membeli peralatan pembersihan seperti mesin penyembur air atau pencuci lebih berkualiti.
"Barang ini kalau jenis tahan lasak harganya antara RM3,000 hingga RM5,000 seunit.
"Saya sendiri pernah mengalami kesukaran mendapatkan bantuan bagi membeli peralatan ini dan ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya.