Bangunan lima tingkat runtuh di Jakarta

Iklan
Orang ramai berkumpul di hadapan sebuah bangunan lima tingkat yang sebahagiannya runtuh dalam kejadian di Jawa Barat hari ini. - AFP

JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan kejadian bangunan lima tingkat runtuh di Jakarta Barat hari ini.

Kejadian membabitkan bangunan di Jalan Brigjen Katamso, Kota Bambu Selatan itu berlaku secara berperingkat sekitar jam 9.10 pagi (waktu tempatan).

Iklan
Iklan

Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Budi Purnama berkata, seramai 11 mangsa cedera dalam insiden itu dan telah dikejarkan ke hospital di Tarakanm Jakarta Pusat untuk rawatan lanjut.

"Kami berjaya membawa keluar lima mangsa yang terperangkap di tingkat dua. Tiga lagi mangsa keluar sendiri.

Iklan

"Tiga pejalan kaki yang kebetulan berada di kaki lima bangunan turut cedera," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk mendakwa, bangunan komersial-kediaman dengan kedai serbaneka di aras paling bawah dan unit kedai sewa di tingkat lebih atas telah senget sejak dua tahun lalu.

Iklan

Siti Komalasari dalam keterangannya kepada polis berkata, bangunan tersebut dalam keadaan usang dan menunggu masa untuk roboh, namun ia tetap beroperasi.

Seorang lagi saksi mendakwa mendengar bunyi berdesing dalam tempoh kurang 60 saat sebelum berlaku runtuhan.

"Ada bunyi 'kretek-kretek' sebelum bangunan runtuh. Kelmarin, tukang jaga parkir juga ada mendengar bunyi sama," kata Juni.

Tambah Juni, bangunan tersebut sudah berusia 10 tahun, namun keadaannya tidak terurus.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian dan tidak dipastikan sekiranya ia ada kaitan dengan banjir minggu lalu di wilayah itu, yang mengakibatkan lebih 60 orang terkorban. - Agensi