SELEPAS Maghrib ini, masuknya tanggal 27 Rejab yang menyaksikan satu lagi peristiwa penting dalam kalendar Islam iaitu Israk dan Mikraj.
Di situlah berlakunya perjalanan agung Nabi Muhammad SAW menaiki buraq dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin, sebelum ‘naik’ ke Sidratunmuntaha.
Sesungguhnya, ia bukan kisah dongeng. Cerita itu benar-benar berlaku sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran dan hadis.
Mengingatkan keagungan kuasa ALLAH SWT yang mengurniakan mukjizat tersebut kepada Nabi Muhammad SAW, ramai yang tertanya-tanya tentang amalan berpuasa sunat pada Israk dan Mikraj.
Rektor Kolej Universiti Islam Perlis, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pernah menjelaskan, jika tarikh peristiwa Israk dan Mikraj pun para ulama berbeza pandangan, inikan pula kewujudan puasa berkenaan.
"Yang sunnah kita lakukan adalah puasa sunat hari Khamis,” katanya sebagaimana dipetik di laman sosial Facebook miliknya.
Fakta itu dikuatkan lagi apabila Sinar Islam merujuk kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Menerusi artikel Al-Kafi #731: Adakah Fadilat Khusus Puasa 27 Rejab Sempena Israk Mikraj, puasa yang berkaitan dengan peristiwa berkenaan tidak tercatat sama sekali.
Pejabat mufti berkenaan hanya menyenaraikan puasa sunat Hari Arafah; Hari Asyura dan Tasu’a; Isnin dan Khamis; puasa tiga hari pada setiap bulan (pada hari ke-13, 14, dan 15 dalam bulan-bulan Islam atau hari-hari putih) serta puasa sunat enam pada bulan Syawal sahaja.
Demikian yang dikemukakan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji berkaitan puasa sunat yang terdapat dalam Islam.
"Kitab berkenaan menyebut, sebarang bentuk ‘puasa sunat’ tidak dianggap sunat melainkan terdapat nas sama ada daripada al-Quran ataupun hadis yang menggalakkan untuk berbuat demikian,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel tersebut.
"Bahkan, penentuan Israk dan Mikraj pada 27 Rejab juga menjadi khilaf dalam kalangan ulama dari segi tarikhnya,” katanya.