RM5 juta untuk Jualan Kasih Johor - Onn Hafiz

Iklan
Onn Hafiz (tengah) meninjau harga ayam dalam Majlis Pelancaran Jualan Kasih Johor sempena Tahun Baharu Cina di Taman Johor, Johor Bahru pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri menerusi inisiatif Jualan Kasih Johor memperuntukkan RM5 juta pemberian subsidi harga barang terutamanya menjelang musim perayaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu diambil bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat khususnya golongan B40 dan M40 bagi mendapatkan barangan asas dan keperluan harian.

Iklan
Iklan

"Program ini menyasarkan 800,000 penerima manfaat di 300 lokasi sepanjang tahun ini menerusi kaedah pengurangan harga yang signifikan bagi produk makanan terpilih seperti ayam, telur, minyak masak dan ikan.

"Kerajaan negeri terus komited dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang mendepani keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Iklan

"Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi pemberian subsidi harga barang terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan banyak lagi di pasar-pasar tani, pasar awam serta lokasi-lokasi yang terpilih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Jualan Kasih Johor di Taman Johor, Kempas di sini pada Rabu.

Iklan
Onn Hafiz beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Majlis Pelancaran Jualan Kasih Johor sempena Tahun Baharu Cina di Taman Johor, Johor Bahru pada Rabu.

Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkifli.

Onn Hafiz berkata, inisiatif Jualan Kasih Johor yang diadakan bersempena perayaan Tahun Baharu Cina diadakan di 30 lokasi terpilih bermula Ahad lalu sehingga Jumaat ini.

Katanya, sepanjang tempoh jualan itu, kerajaan negeri menyediakan pemberian subsidi sebanyak RM1.3 juta.

"Penganjuran Jualan Kasih juga menjamin kesediaan bekalan makanan kepada rakyat. Insya-ALLAH kita akan mengembangkan program ini pada musim-musim perayaan yang akan datang.

"Setakat ini kita akan buat fokus pada musim perayaan, tetapi kalau ada keperluan kita akan buat walaupun bukan musim perayaan," katanya.

Bersempena Jualan Kasih itu melibatkan penjualan ayam sebanyak 540 metrik tan, ikan (108 metrik tan), telur ayam pelbagai gred 135,000 papan dan 60,000 botol minyak masak.

Pelaksanaan 300 lokasi itu akan menumpukan lokasi B40 dan M40 selain usahasama pasar raya tempatan, pasar awam, pasar tani dan pasar tani kekal.

Ini juga bagi membantu mengurangkan lapisan perantara pasaran dari ladang ke pengguna dan memberi faedah kepada kedua dua kumpulan yang berkepentingan dalam penawaran dan permintaan bahan makanan tempatan.