JEMPOL - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu, isteri dan anak lelakinya pada Isnin lalu.
Tertuduh, Azrul Abd Rahman, 36, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan ugutan jenayah dengan berkata"Akan mencederakan sesiapa sahaja yang keluar dari bilik menggunakan pisau dan parang" terhadap ibu, isteri dan anak lelakinya.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 5 Februari lalu jam lebih kurang 8.30 malam di sebuah rumah di Felda Palong.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bukan sahaja bertindak menyembur arak di kepala ibunya, malah mengugut mahu mencederakan ibu, isteri dan anak lelakinya menggunakan pisau serta parang.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook kejadian pada jam 8.30 malam itu berlaku ketika ketiga-tiga mangsa berusia 12, 32, dan 58 tahun itu berada dalam bilik.
Sebaik suspek keluar, isterinya segera mengunci pintu bilik tersebut menggunakan selak pintu.
Beberapa minit kemudian suspek datang semula di hadapan pintu bilik dan mengugut akan mencederakan sesiapa yang keluar daripada bilik tersebut menggunakan pisau dan parang.