Pengampunan Najib: Ahli Parlimen perlu perjelas, redakan resah rakyat

Iklan
Najib. Foto Bernama

SHAH ALAM - Ahli Parlimen perlu memainkan peranan agar keresahan rakyat terhadap isu pengampunan dan pengurangan denda terhadap Datuk Seri Najib Razak dapat diperjelaskan.

Rasuah Busters (RB) dalam kenyataan berkata, pengampunan separa dan pengurangan denda terhadap Najib turut menghantar isyarat salah kepada dunia bahawa Malaysia berkompromi dengan rasuah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rakyat mula rasa terbeban dengan implikìasi pengurangan denda apabila pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetap perlu dlangsaikan sehingga 2039 sedangkan krisis ekonomi negara belum lagi pulih sepenuhnya.

"Ahli-ahli Parlimen adalah pemegang tonggak kuasa legislatif iaitu salah satu cabang kerajaan dan berhak memantau keadilan melalui peruntukan yang termaktub di dalam sistem perundangan.

Iklan

"Sebagai cabang yang berperanan membuat dasar dan undang-undang, ahli ahli Parlimen diberi kepercayaan oleh rakyat untuk melakukan semak dan imbang berdasarkan hak yang dibenarkan oleh Perlembagaan demi mengelakkan bahaya ‘tyranny’ dan ‘despotisme’ yang boleh mencemarkan demokrasi di negara ini," katanya.

Jelas kenyataan itu, tanggungjawab tersebut harus terus berlangsung untuk merungkai kecelaruan dan kekecewaan rakyat pada hari ini, justeru, penjelasan yang konsisten dan jitu amat diperlukan.

Iklan

"Kuasa legislatif berfungsi untuk memperbaiki sebarang kelompongan undang-undang dengan segera agar prinsip 'equality before the law' dapat diterjemahkan dengan lebih efisien demi kesejahteraan rakyat.

"Sebagai pendukung mandat rakyat, wakil rakyat diharap bangkit dengan penuh amanah dan keprihatinan yang berpaksikan kompas moral dan etika untuk memastikan jurang ketidaksetaraan dikecilkan, perpecahan dielakkan dan kedaulatan undang-undang negara dipertahankan habis-habisan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, nilai dan tamadun peradaban keadilan hanya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat apabila kedaulatan undang-undang dijunjung tanpa gentar atau pilih kasih dengan kewibawaan dan ketegasan.

"Dengan penentangan setiap ahli Parlimen terhadap rasuah dan kleptokrasi melalui sistem perundangan yang diteliti, digubal, dipantau dan dihormati tanpa kompromi," katanya.