SHAH ALAM - Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han mengutuk sekeras-kerasnya laporan sebuah portal kelmarin yang menyalahgunakan gambarnya dalam isu air zamzam dan arak.
Menurutnya, artikel tersebut yang turut membuat tuduhan kepada kerajaan hari ini disifatkannya jelas bermotif jahat untuk mencetuskan kebencian orang ramai terhadap kerajaan.
"Saya terkilan dan mengutuk sekeras-kerasnya pihak terlibat kerana menaburkan fitnah terhadap kerajaan termasuk menyalahgunakan gambar saya.
"Saya ingin menekankan bahawa 'arak lebih suci daripada air zamzam' bukan kenyataan daripada saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, Pemuda Pakatan Harapan (PH) Selangor turut membuat laporan polis berhubung artikel terbabit hari ini.
Sze Han memuji tindakan pihak terlibat turut berterima kasih kepada Pemuda PH Selangor kerana mengambil tindakan segera untuk membuat laporan polis terhadap kenyataan berunsur fitnah itu.
"Perkara itu sekiranya tidak diberhentikan segera, kemungkinan akan mengakibatkan ketegangan antara kaum dan agama.
"Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan untuk merosakkan keamanan negara," katanya.
Terdahulu pada 4 Januari lalu, sebuah portal berita memuat naik artikel ‘Arak lebih suci dari air zamzam’ yang mengaitkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dengan berita ‘Denda, penjara jika jual air zamzam’, sementara Sze Han dengan berita ‘Tiada larangan minum arak di tempat awam’.