SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengecam tindakan menempatkan anggota polis dengan jumlah yang ramai ketika sidang akhbar Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) berlangsung pada Rabu kerana dilihat sebagai satu bentuk ugutan.
Beliau menegaskan, amalan tersebut tidak sepatutnya berlaku di bawah Kerajaan Perpaduan dan menggesa agar pihak berkuasa mengkaji semula pendekatan seumpama itu.
"Ini akan dilihat sebagai suatu bentuk intimidasi (ugutan) dan amalan seperti ini tidak patut jadi kebiasaan di bawah Kerajaan Madani.
"KPN (Ketua Polis Negara) YBM (Menteri Dalam Negeri) @saifnasution harus lihat semula pendekatan pihak polis.
"Jangan sia-siakan perjuangan kita untuk menentang segala bentuk intimidasi penguasa selama ini," katanya menerusi hantaran di aplikasi X.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap hantaran Bersih yang mendedahkan kehadiran ramai polis di pejabat pertubuhan tersebut berikutan sidang akhbar mengenai pengampunan dan tuntutan Najib #Reformasi100peratus.
Menerusi hantaran berkenaan Bersih mempersoalkan sama ada intimidasi merupakan mesej sebenar yang ingin dihantar oleh Kerajaan Madani.
Dalam sidang akhbar tersebut, Bersih dilapor tidak teragak-agak untuk menggerakkan rakyat turun semula ke jalanan jika agenda Reformasi 100 peratus yang dituntut tidak dilayan oleh kerajaan.
Pengerusinya, Muhammad Faisal Abd Aziz berkata, gerakan rakyat ini mendesak kerajaan melaksanakan agenda Reformasi 100 peratus tanpa kompromi serta mendapat sokongan daripada ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan.