PUTRAJAYA - Program Madani Rakyat akan diadakan di enam buah negeri pada skala yang bersesuaian tahun ini bagi meneruskan usaha menyebarkan inisiatif dan pencapaian kerajaan kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan.
Bercakap pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di sini pada Rabu, beliau berkata, program itu akan diadakan bagi Zon Tengah di Selangor dari 23 hingga 25 Februari, Zon Utara di Pulau Pinang dari 26 hingga 28 April, Zon Timur di Pahang (28-30 Jun), Zon Selatan di Johor (25-27 Julai), Sarawak (27-29 September) dan Sabah (18-20 Oktober).
"Acara Program Madani Rakyat lebih fokus kepada perkhidmatan yang boleh diberikan oleh agensi kerajaan termasuk pendaftaran dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Turut disediakan beberapa perkhidmatan lain oleh agensi, jabatan dan kementerian untuk kita menyampaikan maklumat terkini, selain program dan dasar-dasar kepada masyarakat,” katanya sambil menambah bahawa program itu merupakan kesinambungan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada tahun lepas.
Dari segi kos penganjuran program berkenaan, beliau berkata, ia tidak akan membabitkan jumlah yang tinggi kerana ianya akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri.
"Penganjuran program tidak akan menelan belanja yang besar kerana diusahakan bersama tuan rumah (kerajaan negeri) dengan kerjasama sebuah kementerian di peringkat persekutuan bagi setiap negeri,” katanya.
Pada tahun lepas, Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pihak berkepentingan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kerajaan belum berhasrat untuk mengawal selia kandungan yang disiarkan menerusi dalam media sosial terutamanya menerusi audio siar oleh pempengaruh media.
Bagaimanapun katanya kerajaan akan bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat keperluan terhadap kandungan yang disiarkan setelah ianya dinilai.
"Pada waktu ini kerajaan belum berhasrat untuk mengawal kandungan yang dihasilkan tetapi seperti disebut seorang ‘podcaster’ Khairy Jamaluddin, sekiranya adab dan batas ada ketelanjuran, sekiranya pihak kerajaan menilai dan ada keperluan, akan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berita bahawa sebuah program audio siar telah mengundang individu yang dihadapkan ke mahkamah berkaitan aktiviti persundalan sebagai tetamu.
Susulan itu, katanya pihaknya telah menerima beberapa laporan berhubung perkara itu namun setelah diteliti, didapati kandungan tersebut tidak dijumpai di mana-mana platform media sosial atau menerusi program audio siar berkenaan.
Susulan itu, beliau meminta para pempengaruh agar membuat kawalan kendiri dan berpada-pada membuat kandungan kerana negara ini tetap ada undang-undang, adab dan budaya.
"Pada masa sama kita berhak bersuara dan berekspresi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi ada batasnya,” katanya. - Bernama