Bersahabatlah dengan orang cintakan al-Quran

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123RF

SHAH ALAM - Tiga kaedah boleh diamalkan umat Islam untuk terus konsisten mengaji dan memahami makna ayat al-Quran dengan mengambil inisiatif bermula dari diri sendiri.

Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, tips pertama ialah bersahabat dengan orang yang cintakan al-Quran.

Iklan
Iklan

"Apabila berkawan atau bergaul dengan orang yang betul, ia secara tidak langsung akan mendorong kita untuk turut melakukan hal sama.

"Pemilihan rakan sangat penting kerana lumrah manusia mudah terpengaruh dengan keadaan atau orang di sekeliling mereka,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, umat Islam juga boleh memulakan langkah dengan membeli al-Quran atau tafsir dan melatih diri membaca kitab suci itu dengan menjadikannya amalan harian.

Beliau menjelaskan, jika seseorang memaksa diri untuk mengamalkan sesuatu perkara yang belum pernah dilakukan, tidak mustahil keadaan itu boleh mewujudkan kebiasaan dalam diri.

Iklan

"Ketiga, anda dinasihatkan supaya mencari guru agama untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar mengenai al-Quran secara konsisten atau berjadual menerusi kelas yang ditetapkan setiap minggu.

"Setiap kelas pasti akan ada yuran, jadi situasi ini juga mampu mendorong seseorang untuk terus menghadirkan diri dan belajar mendalami al-Quran,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan supaya mereka mencari pembimbing atau guru yang dirasakan mampu menyimpan rahsia atau amanah.

Dalam masa sama, beliau yang juga dikenali sebagai ustaz selebriti itu berkata, umat Islam perlu membuang rasa malu sekiranya mahu memperbaiki diri melalui al-Quran kerana sifat itu akan merugikan.

"Kita tidak akan berjaya jika ada sifat malu pada tempat yang salah.

"Kita malu untuk bekerja, kita tak akan bekerja.

"Kita malu untuk belajar al-Quran, kita tidak akan pandai sampai bila-bila.

"Biar kita malu di dunia daripada malu dengan khalayak di hari akhirat kelak,” tegasnya.