KP J-KOM bakal diumumkan, struktur akan dirombak

Iklan
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang media selepas mesyuarat Pasca Kabinet di kementeriannya pada Rabu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Calon Ketua Pengarah (KP) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) telah dimuktamadkan dan akan diumumkan setelah selesai beberapa proses dokumentasi, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Menurutnya nama calon tersebut telah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet dan pada masa yang sama kementerian itu dalam proses merombak struktur J-Kom.

Iklan
Iklan

"Yang lebih penting daripada pelantikan KP J-Kom seperti yang saya telah sebut sebelum ini adalah kita sedang dalam proses merombak struktur itu jadi saya rasa itu yang menjadi keutamaan kepada Kementerian (Komunikasi).

"Saya lihat jabatan ini perlu disuaimanfaatkan, diselaraskan semula beberapa tindakan gerakan kerja," beliau berkata pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.

Iklan

Apabila ditanya adakah proses pelantikan KP yang baharu itu melibatkan rombakan pegawai yang lain beliau hanya menjawab:"Ia akan melibatkan perubahan".

"Proses rombakan ini melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam, maka kita kena lalui proses itu.

"Saya menjangkakan proses dalam J-Kom ini akan mengambil sedikit masa," katanya.

Iklan

KP J-Kom yang bakal diumumkan namanya tidak lama lagi bakal menggantikan penyandangnya Datuk Mohammad Agus Yusoff setelah beliau meletakkan jawatan berkuat kuasa 15 Disember lepas.

Mohammad Agus dilantik sebagai KP J-Kom pada Februari 2023.

Mengulas mengenai pengganti jawatan Speaker Dewan Negara susulan pelantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertua Negeri, Fahmi berkata pengumuman nama calon tersebut akan dibuat oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum persidangan Dewan Negara akan datang.

"Nama telah dicadangkan dan diserahkan kepada PM untuk diumumkan,” katanya. - Bernama.