Kecualikan cukai pendapatan B40, M40 60 tahun yang bekerja

Iklan
J Solomon

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengetepikan cukai pendapatan bagi indvidu daripada kumpulan B40 dan M40 yang terus bekerja selepas usia 60 tahun.

Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), J Solomon berkata, pada usia senja, negara boleh membantu golongan berkenaan untuk menyimpan, tanpa meminta mereka terus menyumbang ke arah penyelenggaraan dan pembangunan negara lagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun selepas empat tahun pandemik Covid-19 melanda negara, masih ramai yang merasai kesannya.

"Secara lazimnya, apabila pekerja mencapai usia persaraan 60 tahun, mereka dijangka mampu menikmati kehidupan yang tenang dan santai. Bagaimanapun, harapan ini terjejas dalam era pascapandemik.

Iklan

"Dalam landskap ekonomi tempatan dan global pascapandemik yang begitu mencabar, warga emas daripada kumpulan B40 dan M40 berkemungkinan perlu terus bekerja walaupun telah mencapai usia persaraan 60 tahun, bukan sahaja untuk menjaga diri sendiri malah juga keluarga mereka.

"Melihat keadaan ini, mereka akan bekerja dengan dibelenggu kerugian. Selepas usia 60 tahun, seorang pekerja tidak lagi dilindungi oleh PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Sumbangan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) oleh majikan juga dikurangkan kepada empat peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambah Solomon, memandangkan ketiadaan perlindungan sosial dan pengurangan simpanan pada masa depan, SPCAAM percaya langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan pekerja berusia daripada kumpulan B40 dan M40 sekurang-kurangnya wajar mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna dalam tangan.

Malah katanya, sebagai satu kumpulan, golongan berkenaan menghabiskan kebanyakan usia dewasa mereka dengan turut menggalas beban negara.

"Mereka bukan sahaja telah memainkan peranan menyumbang terhadap pembangunan dan kelestarian negara, malah turut membayar menyumbang dari segi cukai pendapatan,” ujar beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, empat pengeluaran khas diluluskan ketika pandemik Covid-19 mengakibatkan 71 peratus pencarum aktif KWSP yang berusia 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang mencukupi untuk bersara melepasi garis kemiskinan.

Jelasnya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menjangkakan ahlinya perlu terus bekerja untuk tambahan empat hingga enam tahun bagi membina semula simpanan yang dikeluarkan ketika pandemik.