SHAH ALAM - Kerajaan disaran memperkenalkan elaun kesusahan bagi anggota polis di kawasan bandar atas faktor kos taraf hidup lebih tinggi berbanding mereka yang berkhidmat di luar bandar.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun beliau setuju dengan pandangan bahawa gaji rendah bukan punca utama rasuah dalam kalangan anggota polis, kerajaan tidak seharusnya membiarkan pasukan barisan hadapan negara ini kekal dengan tangga gaji yang sekadar boleh dikategorikan sebagai miskin bandar.
Justeru menurutnya, kerajaan harus memberi fokus terhadap tingkat gaji pegawai berpangkat rendah supaya dapat menjalani kehidupan yang baik di samping berkhidmat kepada masyarakat awam dan negara.
"Di sini, kerajaan boleh mengkaji semula kadar gaji anggota polis dan cadangan kenaikan gaji yang sesuai dari masa ke masa. Bukanlah memberi gaji yang terlalu tinggi tetapi sekurang-kurangnya setimpal dengan keadaan ekonomi semasa.
"Selain itu, buat anggota yang berada di bandar-bandar yang menerima kadar gaji sama seperti mereka di luar bandar, kerajaan boleh mencadangkan elaun kesusahan kepada golongan anggota di kawasan bandar bandar yang mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi dari luar bandar.
"Dengan cara ini, pegawai polis tidak akan terhimpit dengan masalah kewangan khususnya mereka yang berkhidmat di kawasan bandar yang mempunyai cabaran ekonomi yang tinggi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam masa sama, Lam Thye menegaskan, gaji rendah tidak menjadikan anggota polis terlibat rasuah.
Namun sebaliknya, sikap tamak itu sendiri mendorong seseorang melakukan perbuatan tidak beretika tersebut.
"Dalam kalangan anggota polis, wujud juga segelintir kes yang mana pegawai berpangkat tinggi dengan gaji yang lumayan turut terlibat dengan kes salah laku rasuah," katanya
Sehubungan itu, katanya, pihak polis harus menerapkan nilai-nilai murni seperti kejujuran, integriti, tidak melakukan salah laku dalam setiap rekrut baru anggota polis.
"Mereka yang berminat untuk menjadi anggota polis diharapkan tidak menjadikan mengumpul kekayaan sebagai objektif utama dalam menyandang jawatan ini," katanya.