PELUMBA MotoGP dari Itali, Enea Bastianini yang lebih dikenali The Beast mencatat masa terbaik selepas mengatasi rekod sepusingan terpantas musim lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Rabu.
Pelumba berusia 26 tahun yang mewakili Ducati Lenovo Team, yang meraih tempat ke-15 dalam kejuaraan dunia musim lalu mencatatkan masa satu minit 57.134 saat (s) pada hari kedua sesi ujian rasmi pramusim.
Pada sesi pagi, Jorge Martin dari Prima Pramac Racing mencipta rekod tidak rasmi baharu 1:57.273s, mengatasi rekod sepusingan terpantas milik juara dunia MotoGP 2023 Francesco Bagnaia dengan 1:57.491s.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Brad Binder turut cemerlang apabila menamatkan sesi ujian itu di tempat ketiga terpantas dengan catatan 1:57.327s manakala Aleix Espargaro (Aprilia) dan Bagnaia (Ducati) tempat keempat (1:57.446s) dan kelima terpantas (1:57.469s).
Bercakap kepada media selepas ujian itu, Bastianini yang meraih tempat ke-15 dalam kejuaraan dunia musim lepas susulan terlepas beberapa pusingan akibat kecederaan berkata, beliau gembira dengan pemasangan dan fairing aerodinamik baharu bagi meningkatkan prestasinya.
"Saya rasa, 80 peratus trek lebih baik dengan persediaan baharu, jentera lebih pantas dengan fairing baharu dan juga ekzos.
"Saya lebih yakin berbanding tahun lepas, kerana ia benar-benar baharu untuk saya pada 2023, jentera, pasukan dan pasukan kerja. Tahun ini dan hari ini saya melakukannya dengan sangat baik,” kata Bastianini.
Sementara itu, Martin, 26, berkata beliau memulakan sesi Rabu dengan baik menggunakan fairing lama, tapi sukar untuk mengekalkan rentak berikutan cabaran yang dihadapi selepas menukar kepada fairing baharu.
"Kita perlu mengusahakannya esok dan memahami sama ada ia lebih baik atau akan mengekalkan penggunaan lama. Saya harap esok kita dapat memahaminya dan mungkin melakukan beberapa perubahan pada jentera,” katanya.
Ujian pramusim selama tiga hari akan berakhir esok, sebelum pelumba meneruskan ujian pramusim terakhir di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar pada 19 hingga 20 Februari, menjelang pembukaan musim 2024 Grand Prix (GP) di Qatar pada 7 hingga 9 Mac.
Sebagai rekod, GP Malaysia akan berlangsung pada 31 Oktober hingga 2 November depan.
INFO
Keputusan
Keputusan 10 pelumba terbaik:
1. Enea Bastianini (Ducati Lenovo) - 1:57.134s
2. Jorge Martin (Prima Pramac Racing) - 1:57.273s
3. Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing) - 1:57.327s
4. Aleix Espargaro (Aprilia Racing) - 1:57.446s
5. Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo)- 1:57.469s
6. Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing) - 1:57.619s
7. Alex Marquez (Gresini Racing MotoGP) - 1:57.672s
8. Pedro Acosta (Red Bull GASGAS Tech3) - 1:57.726s
9. Marco Bezzecchi (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) - 1:57.867s
10. Joan Mir (Repsol Honda Team) - 1:57.872s.