SHAH ALAM - Kerajaan tidak sepatutnya menuding jari, sebaliknya melihat punca masih ada sebilangan pengusaha bumiputera yang bergantung kepada bantuan kerajaan.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kekangan modal dan persaingan sengit dalam pasaran menyebabkan mereka masih perlu dibantu.
Jelasnya, keadaan menjadi lebih sukar dengan pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang membolehkan orang luar masuk ke pasaran Malaysia dan bersaing bagi mendapatkan projek.
"Kita tak nafikan ada usahawan yang majoritinya PMKS perlukan bantuan dan kita berterima kasih kerana kerajaan banyak tolong.
"Tapi, kita perlu ingat bahawa ada lebih banyak cabaran besar seperti CPTPP, yang mana orang luar boleh datang dan bersaing dengan orang tempatan. Sekarang persaingan dengan bangsa Cina pun jauh ketinggalan, apatah lagi untuk tempoh tujuh ke sembilan tahun akan datang dengan pelaksanaan perjanjian tersebut.
"Mungkin ada yang kata dengan CPTPP, kita juga boleh berkembang ke negara luar tapi dengan keadaan kita sendiri tak mampu bersaing dengan peniaga di sini, logik ke nak pergi keluar? Ini semua antara dilema dihadapi usahawan bumiputera,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa sikap terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan dilihat sebagai antara punca pengusaha bumiputera hilang daya keupayaan kendiri.
Rafizi menjelaskan, persaingan sengit juga berlaku di antara pengusaha bumiputera dan bukan bumiputera yang tidak mendapat sebarang bantuan.
Menurut Norsyahrin, CPTPP turut merangkumi komitmen akses terhadap perolehan kerajaan, dengan tujuan mewujudkan akses terbuka dan saksama kepada semua pembekal tempatan dan luar negara.
"Ini sekali gus boleh memberi kesan kepada dasar mesra-bumiputera dalam perolehan kerajaan. Malaysia diberi keanjalan untuk mengutamakan syarikat bumiputera dan tempatan, seperti nilai ambang perolehan yang tinggi dan tempoh peralihan.
"Pengusaha dari luar negara ini tentunya ada lebih kapasiti dan keupayaan modal. Ini antara masalah yang terpaksa dihadapi golongan bumiputera,” jelas beliau.