TEHERAN - Iran akan menuntut bela atas kematian komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral, Qassem Soleimani dengan mengusir Amerika Syarikat (AS) dari rantau Asia Barat.
Kenyataan tegas itu dikeluarkan pengganti Soleimani selepas seorang lagi komander IRGC memberi amaran puluhan sasaran Amerika kini berada dalam jangkauan Teheran.
Iklan
Iklan
"Kami berikrar akan teruskan perjuangan ini dan satu-satunya 'ganti rugi' kepada kami adalah menghapuskan Amerika dari rantau ini," kata Esmail Qaani yang dilantik sebagai pemimpin baharu Pasukan Quds pada Jumaat lalu menerusi wawancara bersama media tempatan hari ini menjelang pengebumian Soleimani.
Terdahulu, Jeneral Gholamali Abuhamzeh yang mengetuai IRGC di wilayah Kerman memaklumkan, 35 sasaran AS di kawasan itu dan Tel Aviv sudah dikenal pasti sejak sekian lama.
Sebagai respons, Washington dengan retorik sama menerusi kenyataan Setiausaha Negara, Mike Pompeo mengugut untuk bertindak balas jika mana-mana aset Amerika berada dalam bahaya.
Perang retorik yang semakin meningkat menyaksikan Pentagon mengarahkan 3,000 anggota tentera di rantau Asia Barat, manakala Parlimen Iraq meluluskan resolusi menggesa pasukan tentera asing diketuai AS diusir dari negara terbabit. - Agensi
Artikel Berkaitan