'Hari ini hari terakhir kakak sekolah'

Iklan
Aznur (tengah) memegang seluar dan tiga selipar milik tiga anak saudaranya yang hilang dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor pada Rabu.

TAPAH - [DIKEMAS KINI]"Esok kakak tak nak sekolah dah, ini hari terakhir kakak sekolah."

Kata-kata yang diluahkan Hanna Mikayla Azam, 7, itu seolah-olah menjadi petanda kehilangannya bersama dua adiknya dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Perkara itu dikongsi ibu saudaranya, Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51, ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Aznur, sebaik pulang dari sesi persekolahan semalam, anak sulung daripada tiga beradik itu memaklumkan hari itu adalah hari terakhirnya bersekolah.

Iklan

"Dia katakan kepada bapa saudaranya yang dia tidak akan lagi kembali ke sekolah.

"Mungkin itu gerak hatinya memberitahu kepada kita akan kejadian ini," katanya.

Iklan

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, enam sekeluarga bersama seorang pengasuh yang sedang menjalankan aktiviti berkelah di kawasan sungai terperangkap dalam kepala air.

Empat daripada mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya hilang dihanyutkan arus deras sementara tiga lagi terselamat.

Jasad Aszura Bani, 37, ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung sekitar jam 4.30 petang manakala anak lelakinya, Hafiy Muhayat Azam, 4, dijumpai pada 9.50 malam.

Sementara Hanna Mikayla dan adik perempuannya, Hanum Marissa, 2, masih hilang.

Kejadian itu turut melibatkan kakak Aszura, Aslinda Bani, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun, mereka bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu.

Pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an pula berjaya diselamatkan penduduk selepas berpaut pada batu besar iaitu kira-kira 100 meter dari lokasi perkelahan.

Aznur berkata, kejadian itu memberi tamparan hebat kepada adik lelakinya, Azam, 46, apabila terpaksa menerima hakikat kehilangan isteri dan tiga anak sekali gus.

Katanya, ketika kejadian, Azam tidak ikut serta dalam perkelahan kerana bekerja.

"Kali terakhir saya jumpa mereka Ahad lepas di Ipoh, mereka nampak seronok sangat sebab dapat balik ke rumah opah mereka.

"Harapan saya agar dua beradik yang masih hilang ini dapat dijumpai segera, tak kisahlah dalam keadaan bagaimana sekalipun. Kami terima kerana ini ketentuan yang ditakdirkan buat kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, suasana di lokasi kejadian tragedi kepala air malam tadi sayu apabila penduduk menemui seluar dan tiga selipar milik tiga beradik berkenaan.

Selipar berwarna hitam, kuning dan merah jambu itu ditemukan penduduk kampung di sekitar kawasan perkelahan ketika membantu operasi mencari dan menyelamat.