Pulau Pinang laksana projek, program pacu pertumbuhan ekonomi 2024

Iklan
Chow Kon Yeow (kiri), Bandaraya Pulau Pinang.

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang dalam usaha merangka serta melaksanakan projek dan program untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia bagi memastikan gagasan Visi Penang2030 berada pada landasan yang betul.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri percaya bahawa usaha menarik lebih ramai pelabur serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti bagi tahun ini akan mengukuhkan lagi kemakmuran ekonomi rakyat serta keharmonian sesama kaum di Pulau Pinang.

"Nilai kerukunan, keharmonian dan toleransi terus menjadi teras terhadap kesejahteraan yang telah lama tersulam di negeri ini dengan menitikberatkan keberhasilan menjurus kepada kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri secara amnya.

Iklan

"Kerajaan negeri komited dalam merangka dan melaksanakan projek serta program bagi memastikan gagasan Visi Penang2030 tercapai.

"Serentak itu, kerajaan negeri amat serius dalam usaha mempelopori penjanaan pendapatan baharu menerusi lain-lain sumber demi terus memacu pembangunan negeri ini secara menyeluruh bagi memastikan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri yang mampan sejajar ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memuji semua rakyat Pulau Pinang yang berjaya menghadapi pelbagai cabaran pada tahun lalu dan terbaharu, gangguan bekalan air berlaku pada awal tahun ini.

"Kita berjaya mengatasi pelbagai cabaran pada tahun 2023 dan ia telah menjadi salah satu sebab untuk kita menjadi lebih kuat pada tahun ini. Diharapkan ia menjadi pendorong kepada semua masyarakat di Pulau Pinang untuk bergerak dengan lebih maju dalam apa jua bidang bagi mencipta serta merencana masa depan yang lebih cemerlang.

"Saya amat tersentuh dan bersyukur apabila menyaksikan semangat komuniti serta perpaduan dalam kalangan rakyat untuk bersama-sama mengharungi cabaran gangguan bekalan air pada Januari lalu tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan juga fahaman politik.

"Saya dapat melihat rakyat kini sedar betapa bernilainya sumber air kepada kehidupan kita. Saya berharap ia menjadi satu permulaan bagi semua pihak untuk meningkatkan kesedaran berhubung penggunaan air dengan lebih cermat, sebagai sumber yang terhad dan amat bernilai," katanya.