PUTRAJAYA - Kebimbangan terhadap kerahsiaan butiran peribadi antara faktor yang menyumbang kepada pendaftaran Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) yang rendah dalam kalangan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana setakat 2 Februari hanya 33.3 peratus atau bersamaan 8,173 orang daripada 24,471 pegawai dan kakitangan kementerian serta agensi melakukan pendaftaran PADU.
"Pertengahan bulan ini kita pastikan pendaftaran PADU oleh warga KKDW akan mencapai 100 peratus," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KKDW di sini pada Khamis.
Menurutnya kementerian akan memastikan agar semua langkah yang diambil dapat mencapai sasaran tersebut.
"(PADU) Itu semua adalah faedah untuk kita bersama," ujar beliau.
Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Januari telah meminta supaya semua penjawat awam mengemaskini maklumat dan data dalam sistem PADU selewat-lewatnya sebelum 15 Februari.
Terdahulu Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 2.69 juta individu sudah membuat pendaftaran PADU setakat Selasa.
Lima negeri iaitu Sarawak, Selangor, Johor, Perlis dan Kelantan merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi sejak sistem itu dilancarkan 2 Januari lepas.
Bimbang data bocor punca pendaftaran PADU warga KKDW rendah
Iklan