SHAH ALAM - Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bersama rakan kongsi masyarakat sivil sedia menyokong kerajaan membangunkan alternatif kepada penahanan imigresen, khususnya bagi pelarian dan pencari suaka termasuk kanak-kanak serta warga emas.
Unit Komunikasi dan Maklumat Awam UNHCR dalam kenyataan berkata, alternatif kepada penahanan perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum pihak berkuasa melaksanakan tindakan tersebut ke atas mereka.
"Ia harus dibenarkan oleh undang-undang, hanya dilakukan jika perlu dan munasabah dalam semua keadaan serta berkadar dengan matlamat yang sah.
"Langkah yang sesuai, pertama sekali, melibatkan rangka kerja yang komprehensif, berkesan dan berperikemanusiaan untuk menguruskan situasi pelarian dan pencari suaka di negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut kenyataan tersebut, UNHCR komited bekerjasama dengan kerajaan mencari langkah-langkah ramalan dalam mengurus situasi pelarian dengan lebih baik.
Ujarnya, ia sekali gus dapat menangani kebimbangan negara serta menyediakan akses kepada pencari suaka yang memerlukan perlindungan antarabangsa.
Tambah kenyataan itu, UNHCR terkejut dan amat sedih dengan berita berhubung dua tahanan maut ketika cuba melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Perak pada 1 Februari lalu.
"Kami sedar dan bimbang bahawa dalam kemudahan tahanan imigresen di seluruh Malaysia, masih terdapat orang yang ditahan, termasuk individu yang terdedah memerlukan perhatian kami dan yang mungkin merupakan pencari suaka atau pelarian.
"Memandangkan kami tidak mendapat kelulusan daripada pihak imigresen untuk mengakses pusat tahanan sejak Ogos 2019, malangnya ini telah menghalang UNHCR daripada melihat mereka yang ditahan untuk menentukan sama ada terdapat individu yang memerlukan perlindungan antarabangsa dan menyokong pembebasan mereka.
"UNHCR telah menyokong dan terus berbuat demikian dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), agensi dan kementerian kerajaan yang berkaitan, termasuk di peringkat tertinggi, untuk akses segera kepada mereka yang mungkin memerlukan perlindungan kami,” menurut kenyataan berkenaan.
Dalam kejadian 1 Februari itu, seramai 131 tahanan dilaporkan bolos dari blok lelaki depoh berkenaan, termasuk seorang yang kemudian maut akibat kemalangan jalan raya.
Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya dan 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.