Kim Swee korban cuti Tahun Baharu Cina demi Piala AFC

Iklan
Kim Swee

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee terpaksa melupakan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini, demi mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara berdepan Macarthur FC di Australia, Selasa depan.

Kim Swee berkata, ini merupakan kali pertama beliau berjauhan daripada keluarga ketika perayaan itu.

Iklan
Iklan

"Sudah pasti ia satu yang berbeza sebab kebiasaannya saya akan bersama keluarga dua atau tiga hari sebelum perayaan dan luangkan masa empat atau lima hari selepas Tahun Baharu Cina.

Menurut bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu, walaupun sedih namun beliau bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat bersama keluarga pada malam makan besar sebelum berlepas ke Sydney pada Sabtu ini.

Iklan

"Tradisi keluarga kami sudah tentu adalah makan besar sehari sebelum perayaan dan melawat saudara-mara pada hari pertama Tahun Baharu Cina... tapi saya gembira (kerana) satu daripada tradisi dapat saya sertai sebelum bergerak ke Australia,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan skuad Sabah, Kim Swee berkata, semua berjalan lancar dengan pemain bebas dari sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui sedikit bimbang susulan kurangnya aksi pemanas badan sebelum perlawanan kerana kebanyakan kelab bola sepak tempatan berada dalam fasa luar musim.

Iklan

"Namun, saya tetap yakin pemain mampu memberikan aksi yang terbaik untuk mara lebih jauh di kejohanan itu,” katanya. - Bernama