'Tidak kisah sambut CNY di hospital, asal penyakit sembuh'

Iklan
Tuck Chee (empat kiri) menyampaikan sumbangan limau kepada petugas kesihatan sempena lawatan di HTAR Klang pada Khamis.

KLANG - Sudah pastinya tiada siapa mahu sakit dan tinggal di wad hospital khususnya warga Tionghua ketika Tahun Baharu Cina akan disambut pada Sabtu ini.

Namun, dengan semangat untuk sembuh dan dapat menjalani kehidupannya seperti biasa, Ong Ah No, 76, yang menghidap pelbagai jenis penyakit tetap menguatkan diri dan kekal tabah.

Iklan
Iklan

Warga emas terbabit memberitahu bahawa dia tidak kisah beraya di hospital asalkan penyakitnya dapat diubati.

"Paling penting kesihatan saya di wad ini dapat dipantau dan dijaga oleh doktor dan jururawat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di wad Hospital Sultanah Tengku Rahimah (HTAR) Klang.

Iklan

Warga emas terbabit adalah antara 100 penerima sumbangan bakul makanan di wad HTAR sempena program anjuran Ahli Lembaga Pelawat Hospital HTAR di sini pada Khamis.

Ah No (kiri) menerima sumbangan daripada Mohd Shahrul (tiga kanan).

Program turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Leong Tuck Chee dan diiringi Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HTAR, Mohd Shahrul Hafis Mohd Sufian.

Iklan

Sementara itu,keluarga seorang lagi pesakit, Sandy Tee, 60, pula berkata, abang iparnya, Pee Teck Ho, 72, terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina buat kali pertama di hospital pada tahun ini.

"Kami akan ke hospital pada Sabtu ini untuk meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama kerana dia tidak pernah menyambut tahun baharu di hospital sebelum ini," katanya.

Lebih menyedihkan, katanya, abang iparnya itu tidak mempunyai keluarga sendiri dan memerlukan sokongan ahli keluarga lain untuk cepat sembuh dan dapat mengurangkan kesedihannya.

Sementara itu, Tuck Chee dan Mohd Shahrul ketika melawat pesakit turut menasihati agar mereka sentiasa menjaga makan minum dan mendengar nasihat doktor agar cepat sembuh.

Terdahulu, seramai 100 pesakit termasuk bukan warga Tionghua menerima sumbangan berupa bungkusan makanan dan duit raya sumbangan Tuck Chee dan Mohd Shahrul.

Kedua-dua mereka juga berkesempatan meluangkan masa kira-kira sejam melawat sambil beramah mesra dengan setiap pesakit yang ditemui.

Ends