Projek Pan Borneo Sarawak dapat disiapkan tahun ini - Nanta

Iklan
Nanta (depan, dua dari kiri) bergambar bersama warga Kementerian Kerja Raya selepas Majlis Amanat Tahun 2024 serta Perhimpunan Bulanan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya, pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dapat disiapkan sepenuhnya tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat ini status kemajuan pembinaan projek berkenaan telah mencapai 98.91 peratus.

Iklan
Iklan

"Sedikit lagi yang perlu dibuat perubahan kepada reka bentuk kerana (ada beberapa) masalah tanah di lokasi yang terlibat. Itulah yang boleh dikatakan mengapa kita belum mencapai 100 peratus lagi (ketika ini),” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun 2024 serta Perhimpunan Bulanan Bersama Warga KKR di Kompleks Kerja Raya, di sini pada Khamis.

Berhubung perkembangan projek LPB Sabah, Nanta berkata, status projek berkenaan telah mencapai kemajuan hampir 87 peratus siap bagi Fasa 1A yang melibatkan 15 pakej kerja manakala di bawah pakej Fasa 1B yang membabitkan 19 pakej kerja, proses tender sedang dilaksanakan.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Nanta berkata, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) melibatkan jajaran Perak dijangka dibuka sepenuhnya pada Mac ini.

"Lebuhraya WCE ini bakal menjadi laluan alternatif kepada pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi mengurangkan kesesakan terutamanya pada musim perayaan. Setiap projek mega ini akan membantu lonjakan ekonomi dan pembangunan di negara kita,” katanya.

Iklan

Terdahulu, Nanta dalam ucapan mengingatkan semua warga kementerian untuk melaksanakan tugasan secara lebih proaktif dan tidak hanya menunggu aduan daripada rakyat semata berkaitan isu jalan raya.

"Diakui bahawa isu berkaitan jalan raya sering menjadi modal netizen untuk dihebahkan atau ditularkan. Saya memahami banyak aduan yang telah diambil tindakan segera, namun ada juga aduan yang mengambil masa terlalu lama untuk ditangani.

"Tentunya ini menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kita. Justeru, perkara utama yang ingin saya tegaskan di sini adalah tindakan bagi kerja membaik pulih di lapangan tanpa perlu menunggu aduan dan jangan menyembunyikan masalah. Hentikan sikap hanya menunggu isu viral baru bertindak," katanya. - Bernama