SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) memperhebatkan kempen penyatuan ummah menerusi ‘Uninstall Hatred, Reboot Malaysia & Global Harmony’ dalam usaha mengembalikan semula keharmonian masyarakat bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga dunia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marhaini Yusoff berkata, misi utama kempen itu adalah untuk memberi penekanan terhadap nilai-nilai murni dengan membuang kebencian dan mengembalikan semula keharmonian sesama insan.
Menurutnya, kempen itu bermula dengan masyarakat Islam kerana dalam al-Quran banyak terdapat nilai-nilai murni yang mengajak umatnya melakukan kebaikan.
"Sebenarnya, kempen ini kita sudah mulakan sejak November tahun lepas lagi menerusi ‘Reboot Politeness’ atau pun mengembalikan kesantunan dalam semua aspek termasuk dalam percakapan harian.
"Jadi tahun ini, kita harap dapat memperkuatkan lagi kempen ini kerana amat penting untuk kita membersihkan hati kita daripada unsur-unsur negatif, sebaliknya berusaha untuk mengeluarkan nilai-nilai sebenar yang ada dalam diri seseorang manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perjumpaan bersama ‘Core Group’ kempen tersebut di Tingkat 1 Bangunan Sinar, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Namanzee Haris; Ketua Penerbitan TV, Astro Ideaktif, Fadzliniza Zakaria; Ikon Blogger DenaiHati Network Sdn Bhd, Amir Hassan; selebriti, Norman Hakim dan juga Fahrur Raqib Abdul Majid.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Fahmee Ismail berkata, tajuk kempen ‘Uninstall Hatred, Reboot Malaysia & Global Harmony’ dipilih kerana melihat kepada senario yang berlaku di Malaysia dan di seluruh dunia tentang keamanan sejagat.
Katanya, tahap pemikiran masyarakat pada masa ini dilihat semakin menjunam berbanding 20 tahun lalu di mana ketika itu Melayu, India dan Cina boleh bergambar dan memegang bendera bersama tetapi kini situasi itu sudah menjadi sukar untuk dilakukan dan perkara itu dilihat bukan sesuatu yang aman.
"Malah kita turut mengangkat surah ar-Rahman sebagai panduan dalam mengembalikan keharmonian sejagat sepanjang kempen ini berlangsung kerana ia amat bertepatan dengan jawapan yang kita perlukan dalam mencari keharmonian,” katanya.