[VIDEO] Bunuh CEO Cradle Fund: Samirah, dua remaja kekal bebas

Iklan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis mengekalkan pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja, atas pertuduhan membunuh suami wanita itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli memutuskan demikian selepas menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan tersebut.

Ketika membaca keputusan penghakiman yang diperoleh secara sebulat suara, Vazeer berkata, pendakwaan selaku pemohon gagal membuktikan elemen kesalahan, sama ada Samirah dan dua remaja ini telah menyebabkan kematian Nazrin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi adalah tepat apabila menyatakan, teori Samirah dan dua remaja itu selaku responden, dilihat berada bersama mangsa sebelum kejadian, tidak boleh diterima pakai.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis mengekalkan pembebasan Samirah dan dua remaja, atas pertuduhan membunuh Nazrin, enam tahun lalu.

"Sekiranya tiada penjelasan, ia boleh membawa kepada anggapan yang salah, selain ia tidak mencukupi untuk membuktikan elemen kes.

Iklan

"Menyentuh elemen motif pembunuhan, pihak pemohon tidak kemukakan sebarang bukti responden membunuh mangsa,” katanya.

Hakim Mahkamah Rayuan ini berkata, dakwaan isu kewangan, mangsa mahu menceraikan Samirah dan hubungan tidak baik responden ialah tidak jelas serta samar.

Iklan

Bagaimanapun beliau berkata, berdasarkan keterangan beberapa saksi pendakwaan, mereka menyatakan Samiran dan mangsa mempunyai hubungan baik serta penyayang.

Bukan itu sahaja, hakim ini berkata, beberapa hari sebelum kematian Nazrin, terdapat keterangan menunjukkan mesej antara pasangan suami isteri ini mempunyai hubungan intim yang biasa.

Sementara itu, ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas keputusan diketahui, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili semua responden berkata, anak guamnya mengalami tekanan sejak tahun 2018 lalu.

Katanya, ia termasuk ketika mereka direman dan ditempatkan dalam penjara sementara menghadapi perbicaraan yang dihangatkan dengan berita daripada pihak media.

"Berdasarkan keputusan ini, ia amat menggembirakan kami kerana keputusan sama seperti di Mahkamah Tinggi lalu.

"Panel hakim juga menyatakan, kematian Nazrin bukan satu pembunuhan sebaliknya kemalangan dalam kebakaran yang tidak disengajakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam responden, L S Leonard berkata, anak guamnya menanggung penderitaan yang teruk kerana terpaksa berdepan dengan pandangan masyarakat lebih-lebih lagi dikaitkan dengan pembunuhan berprofil tinggi.

"Akhirnya, keadilan ditegakkan hari ini, anak guam saya sangat gembira kerana mahkamah membuktikan bahawa kejadian ini hanyalah satu kemalangan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Samirah, 49, dua remaja dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam (ketika itu), Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga individu berkenaan, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakimannya, Ab Karim dilaporkan berkata, pasukan pendakwaan hanya membuat andaian semata-mata apabila mendakwa ketiga-tiga mereka membunuh CEO Cradle Fund itu seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.