ALOR SETAR - Rakyat Malaysia yang ditahan di Thailand kerana membawa walkie-talkie dan membawa kenderaan tanpa permit dijangka dibenar ikat jamin dan dibebaskan dalam tempoh terdekat.
Ibu kepada Wan Mohd Amirul Adib Wan Mohd Subhi, 22, kini berada di Nathawee bagi proses jaminan anaknya itu memaklumkan pihaknya telah bertemu dengan pihak berkuasa Thailand di Nathawee, Songkla.
Siti Zubaidah Saad berkata, kedua-dua pihak sedang menyiapkan dokumen berkaitan bagi membolehkan Amirul Adib dijamin dan dibebaskan secepat mungkin.
"Pihak berkuasa Thailand mohon kita bersabar dan perbincangan kedua-dua pihak berjalan dengan baik,” katanya.
Menurutnya, perbincangan kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai kes ini yang tular di Malaysia dan mereka mohon agar isu ini tidak dipanjangkan demi menghormati proses perundangan yang sedang dilakukan untuk membebaskan Amirul Adib.
"Amirul Adib berada dalam keadaan baik dan selamat di Pusat Tahanan Nathawee, Songkla,” katanya.
Siti Zubaidah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu, terutama Kementerian Luar; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan Exco Kedah, Halimaton Shaadiah Saad serta pejabat Menteri Besar Kedah.
"Saya juga ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa doakan kesejahteraan anak saya. Semoga Allah SWT permudahkan urusan ini,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada niat raih simpati: Ibu Adib]
Siti Zubaidah ditemani anak sulungnya, Wan Mohd Amirul Afiq, 25, dan berada di negara itu sejak Isnin.
Keluarga itu turut ditemani Pegawai Menteri Besar Kedah, Mohd Azril Ramli dan Armada Bersatu Pendang.
Amirul Adib ditahan ketika melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Thailand kerana membawa walkie talkie ketika membawa tujuh pelancong dari negara ini pada 14 Disember tahun lalu.
Berikutan itu, mereka sekeluarga terpaksa mengumpul wang termasuk menggadai barangan serta merayu sumbangan orang ramai untuk mengumpul dana bagi menjamin anak ketiga dari lima beradik itu.