BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Dua remaja perempuan warga asing disyaki direkrut sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) diselamatkan manakala seorang wanita tempatan yang berperanan sebagai 'mummy' diberkas di sebuah pusat hiburan di Taman Bukit Pasir dekat sini pada Khamis.
Operasi Op Pintas itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 1.30 pagi.
Menurutnya, seramai 16 individu ditahan termasuk 12 wanita asing disyaki GRO.
"Wanita disyaki GRO ini membabitkan warga Laos (5), Vietnam (6) dan seorang Myanmar.
"Seorang wanita tempatan berusia 56 tahun berperanan sebagai pengurus premis dan penjaga GRO atau mummy juga antara yang ditahan selain tiga lelaki masing-masing warga Laos, Myanmar dan Bangladesh," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, wanita tempatan (mummy) itu disiasat Seksyen 14 Akta Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Tambah Soffian, pihaknya turut berjaya menyelamatkan dua orang mangsa wanita warga Laos berusia 17 tahun disyaki diperdagangkan dan bekerja sebagai GRO di pusat hiburan terbabit sejak tiga bulan lalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pusat hiburan berkonsepkan KTV menawarkan GRO dengan bayaran tip sekitar RM50 hingga RM200 selain hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk.
"Premis yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu itu dikesan mempunyai kawalan kamera litar tertutup (CCTV) selain terdapat beberapa ruang dan bilik rahsia sebagai tempat persembunyian GRO bagi elak ditangkap," katanya.