KUANTAN -"Ini adalah pendakian terakhir ibu," kata anak sulung kepada pendaki wanita, Zahalita Othman,52, yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika ekspedisi mendaki di Gunung Reskit, Kuala Tahan pada Selasa.
Mohamad Hafizzudin Saharuddin, 32, berkata, itu antara ungkapan terakhir ibunya sebelum memulakan ekspedisi terbabit pada 1 Februari lalu.
Dia tidak menyangka kejadian yang menimpa, namun reda jenazah ibunya dijumpai selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Saya tidak sangka kejadian berlaku. Sebelum itu, Ibu ada berjanji dengan kami ini 'last' (terakhir) mendaki bukti atau pun gunung. Ibu bukan hanya pesan dengan saya dan adik beradik sahaja, tetapi dengan semua.
"Bila berlaku perkara ini, benarlah kata ibu perjalanan pendakiannya berakhir semasa hari jadinya pada Selasa lalu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Khamis.
Bercerita lanjut, Muhammad Hafizzudin memaklumkan akan menghubungi ibunya setiap kali sambutan hari lahir, namun kali ini dia tidak dapat berbuat demikian.
"Kebiasaan saya akan menghubungi ibu dan kami akan ‘bergayut’ lama. Tapi kali ini saya tidak dapat hubungi ibu disebabkan masalah rangkaian telekomunikasi.
"Selepas itu, saya dapat tahu ibu sudah meninggalkan kami, setahu saya ibu seorang yang sangat sihat dan sudah biasa memanjat bukit dan gunung. Malah setiap tahun ibu melakukan pemeriksaan kesihatan,” jelasnya.
Katanya lagi, kali terakhir dia berhubung dengan Zahalita iaitu sehari sebelum ibunya meninggal dunia, dan ibunya ada mengirimkan gambar bersama rakan mendaki dikenali sebagai Anas.
"Saya tengok wajah ibu nampak penat dan tidak seperti biasa, tapi saya bersangka baik. Tapi tak sangka itulah gambar terakhir yang diterima.
"Ibu berhasrat bawa kami sekeluarga beriadah di Sungai Lembing, Kuantan, tapi tidak sangka kami datang ke Kuantan cara macam ini," ujarnya.
Isteri Muhamad Hafizzudin, Nazurah Izzati Zahari, 32, pula berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan ibu mertuanya itu adalah ketika mereka sekeluarga meraikan Hari Keluarga di Port Dickson Negeri Sembilan pada 20 Disember lalu.
Jelasnya, pada ketika itu, Zahalita baru kehilangan ibunya yang meninggal disebabkan sakit tua.
"Ibu sangat sedih dengan pemergian nenek. Ketika itu ibu pesan kepada kami sekeluarga tentang persediaan sekiranya dia sudah tiada termasuk tentang insuran yang dia ambil,” katanya.
Zahalita yang merupakan ibu tunggal meninggalkan lima anak berusia antara 17 hingga 32 tahun serta tiga orang cucu.
Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Mas, Kota Tinggi, Johor Bahru.