KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menerima kunjungan tokoh sejarawan, Prof Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam di pejabatnya di Putrajaya.
Anwar berkata, beliau dan sahabat lamanya itu, sempat mengimbau kenangan ketika berada di Universiti Malaya.
"Di akhir pertemuan, Prof Ahmat hadiahkan dua karya berjudul ‘Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa Yang Dibaca Selama ini?’ dan ‘Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia’,” katanya dalam catatan terbaharunya dalam Facebook hari ini.
Ahmat merupakan Profesor Emeritus dalam bidang ilmu sejarah, yang mula bergiat menulis sejak 1970-an.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau menyempurnakan Istiadat Penyerahan Suratcara Pelantikan Ketua Pengakap Negara Ke-7 dan Penganugerahan Bintang Semangat Padi (Emas) kepada Mejar Jeneral Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin, di pejabatnya hari ini.
Anwar yang juga Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia berkata, pelantikan Mohd Zin sebelum ini, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa pada 15 Disember lalu.
"Selaku Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia, saya titipkan pesan buat Mohd Zin, untuk menampilkan kepimpinan penuh teladan dan mengangkat tatakelola hatta integriti sepanjang menggalas amanah ini,” katanya. - Bernama