TILMIZAH Sholihah menjadi peserta pertama tersingkir pada program Akademi Qurra 2024 pada minggu ketiga yang ditayangkan di TV Alhijrah pada Rabu.
Pemilik nama sebenar Nurul Sholihah Shahrudin, 24, sebelum itu diumumkan berada pada kedudukan dua terbawah bersama Tilmizah Athiyyah apabila masing-masing mendapat markah 78.75 peratus dan 79 peratus.
Sholihah yang tidak dapat menahan kesedihan atas penyingkiran itu berkata, dia sudah mencuba sehabis baik.
"Sejujurnya memang sedih bila diumumkan tersingkir. Bagi saya tempoh tiga minggu ini belum cukup. Masih banyak lagi nak belajar terutama taranum. Lagi pula, saya akui kelemahan dari segi tajwid dan fasohah. Itu yang pertama saya nak capai," ujarnya.
Sementara itu, Tilmiz Amnan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Alunan Terindah apabila mendapat markah tertinggi iaitu 96.5 peratus sekali gus membawa pulang wang tunai RM500 berserta rehal.
Menjadi peserta pertama yang konsisten mendapat markah tertinggi buat dua minggu, Tilmiz Amnan, 21, atau nama sebenar Muhammad Amnan Muhammad Sani berkata, bukan mudah untuk mengekalkan momentum apatah lagi cabaran yang diberikan setiap minggu semakin sengit.
"Alhamdulillah atas anugerah ini. Saya akui bukan mudah untuk mencuit hati juri untuk memenangi Anugerah Alunan Terindah. Malah, mendapat markah tertinggi juga satu ujian kerana orang akan meletakkan jangkaan yang tinggi setiap kali persembahan kita, jadi tekanannya agak tinggi.
"Mungkin kekuatan saya dari sudut lagu dan irama kerana setiap lagu perlukan penghayatan, bukan hanya dari segi taranum. Cuma saya perlu mencari tahap ketinggian suara supaya lebih selesa setiap kali bacaan,” katanya yang pernah menjadi Johan Tilawah Kebangsaan sewaktu sekolah rendah dan sekolah menengah.
Menurut penerbit Akademi Qurra 2024, Saifulizzam Mohd Lizah, selepas tiga minggu bersiaran, pihak produksi memutuskan untuk menyingkirkan seorang peserta dan cabaran selepas ini akan menjadi lebih sukar.
"Saya akui keputusan untuk singkirkan seorang peserta sangat perit untuk kami lakukan. Lagipun perbezaan markah Tilmizah Sholihah dan Tilmizah Athiyyah hanya satu mata sahaja. Kami sendiri tidak menyangka Keputusan ini kerana Tilmizah Sholihah agak konsisten pada minggu pertama dan kedua.
"Majlis syura akan menilai peserta dan tugasan selepas ini akan lebih sukar. Mungkin masa bacaan akan bertambah dengan dua taranum,” jelasnya.
Dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra 2024 turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.
Program yang ditayangkan pada setiap Sabtu jam 9 malam itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim serta juri jemputan.