KUALA LUMPUR - Hanya tiga hari, namun itu tidak menghalang orang ramai untuk memanfaatkan cuti sempena Tahun Baharu Cina hujung minggu ini untuk pulang ke kampung dan mengunjungi tempat pelancongan di seluruh negara.
Tatkala ada yang cenderung memandu kenderaan sendiri, pengangkutan awam terutamanya bas ekspres terus menjadi pilihan utama bagi mereka yang inginkan keselesaan namun serik memandu dalam kesesakan.
Tidak lagi sepertimana dahulu yang menyaksikan orang ramai beratur panjang di kaunter, tinjauan Bernama mendapati penjualan tiket secara dalam talian yang lebih sistematik memudahkan pembelian tiket lebih awal, justeru secara tidak langsung menarik minat orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam.
"Saya sudah tempah tiket dalam talian sebulan lepas sebab takut habis dijual untuk cuti Tahun Baharu Cina," kata Eva Chong, 21, yang akan pulang menyambut perayaan itu di Kulai, Johor selama seminggu bersama keluarga.
Pelajar kolej swasta yang ditemui Bernama di Terminal Bas Bersepadu (TBS) itu berkata, perkhidmatan pembelian dalam talian sangat membantu golongan pelajar sepertinya untuk merancang pembelian pulang ke kampung selain dapat mengelak daripada ditipu ‘ulat tiket’.
Malah, perkhidmatan dalam talian membantu mereka yang melakukan pembelian saat akhir untuk meninjau tiket, berbanding sebelum ini yang memerlukan orang ramai ke terminal bas dan bertanya ke setiap kaunter ataupun menghubungi syarikat bas.
Kemudahan itu memberi kelegaan kepada Joana, 28, yang hanya sempat membeli tiket Rabu lepas untuk pulang ke Melaka bagi meraikan sambutan itu bersama keluarga biarpun hanya mendapat cuti sehari.
"Saya beli tiket secara dalam talian semalam dan nasib baik masih ada satu untuk saya," katanya.
Bernama turut mendapati bas yang disediakan bagi menampung jumlah penumpang sempena cuti Tahun Baharu Cina kali ini mencukupi apabila beberapa kaunter yang dikunjungi menyatakan tiket ke beberapa destinasi tumpuan masih ditawarkan.
Ini dapat dilihat apabila mereka yang melakukan pembelian saat akhir selain Joana tidak berhadapan masalah kehabisan tiket biarpun hanya berbaki sehari lagi sebelum perayaan masyarakat Tionghua itu.
Pembelian di kaunter bagaimanapun masih menjadi pilihan khususnya dalam kalangan warga emas dan pembeli juga tidak perlu beratur panjang.
"Biarpun boleh beli dalam talian, penting juga ada kemudahan di kaunter kerana kadang-kadang sistem boleh berlaku 'di luar talian' terutamanya ketika ramai berpusu-pusu menggunakan sistem itu dalam satu-satu masa khususnya pada musim perayaan.
"Saya baru sahaja beli tiket di kaunter tadi dan nasib baik ada berbaki tiga lagi tiket,” kata Fanisha Abdullah, 25, yang akan pulang ke kampung halamannya di Kluang, Johor bersama dua anaknya.
Selain rakyat tempatan, pelancong asing turut tidak melepaskan peluang menggunakan pengangkutan awam untuk menerokai lokasi menarik di luar Lembah Klang selain mahu merasai keseronokan menyambut perayaan tersebut.
"Kami di sini untuk enam hari dan sekarang sedang mendapatkan tiket untuk melawat Melaka, tak sabar rasanya," kata pemuda dari Yokohama, Jepun, Daichi, 19, yang pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia bersama tiga rakannya.
Tahun Baharu Cina disambut Sabtu ini dan merupakan tahun naga dalam kalendar zodiak Cina yang dipercayai membawa simbol kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keberuntungan. - Bernama