Bagnaia cemerlang di Sepang

Iklan
Bagnaia

PELUMBA Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia mengakhiri ujian musim sejuk pramusim MotoGP 2024 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan cemerlang selepas mencatatkan rekod pusingan terpantas pada hari terakhir ujian pada Khamis.

Juara dunia berusia 27 tahun itu mencatatkan masa satu minit dan 56.682 saat (s) pada pusingan kelapan daripada 47 pusingan dan merupakan seorang daripada empat pelumba yang mengatasi catatan masa 1:57.134s rakan sepasukannya, Enea Bastianini semalam.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Jorge Martin daripada Prima Pramac Racing di tempat kedua dengan masa 1:56.854s diikuti Bastianini di tempat ketiga dengan masa 1:56.915s sementara Alex Marquez daripada Gresini Racing MotoGP dengan catatan 1:56.938s di tempat keempat.

Bercakap kepada pemberita selepas ujian itu, pelumba dari Itali itu berkata, pasukannya berjaya mengeluarkan potensi maksimum jentera tunggangannya biarpun bermula dengan perlahan pada hari pertama ujian.

Iklan

"Kami menunjukkan dan mengetahui dengan sempurna potensi jentera ini. Kami berjaya untuk meningkatkan kemampuannya dalam masa hanya tiga hari dan akhirnya kami berada di satu titik yang baik, kira-kira 80 peratus konsisten dan beralih ke Qatar dalam keadaan yang baik.

"Juga, saya gembira (dengan catatan masa) itu kerana catatan pusingan yang menakjubkan dalam percubaan pertama musim ini, ia memang hebat tetapi ia hanyalah ujian,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Martin enggan untuk terlalu memikirkan sama ada beliau akan menjadi pencabar utama kepada Bagnaia pada keseluruhan musim ini tetapi sebaliknya beliau mahu menumpukan kepada peningkatan kemahiran menunggangnya.

"Saya rasa bersedia untuk segalanya tetapi saya tidak tahu lagi. Ujian ini benar-benar sukar untuk dianalisis kerana ramai pelumba mempunyai kepantasan...saya fikir bukan hanya saya dan Bagnaia, ada lagi ramai pelumba,” katanya.

Pelumba dan pasukan akan melaksanakan ujian terakhir pramusim mereka di Ujian Rasmi MotoGP Qatar di Litar Antarabangsa Lusail dari 19 hingga 20 Februari, menjelang pembukaan musim Grand Prix (GP) Qatar dari 7 hingga 9 Mac.

Sebagai rekod, SIC akan menjadi tuan rumah kepada GP Malaysia, pusingan ke-21 yang kedua terakhir buat musim ini dari 31 Oktober hingga 2 November


KEPUTUSAN 10 TERPANTAS

1. Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team)- 1:56.682s

2. Jorge Martin (Prima Pramac Racing) - 1:56.854s

3. Enea Bastianini (Ducati Lenovo Team) - 1:56.915s

4. Alex Marquez (Gresini Racing MotoGP) - 1:56.938s

5. Aleix Espargaro (Aprilia Racing) - 1:57.091s

6. Marc Marquez (Gresini Racing MotoGP) - 1:57.270s

7.Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing) - 1:57.307s

8.Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing) - 1:57.343s

9.Pedro Acosta (Red Bull GASGAS Tech3) - 1:57.365s

10.Joan Mir (Repsol Honda Team) - 1:57.374s