PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menjangkakan Manchester United bakal tampil dengan aksi serangan balas pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga di Old Trafford awal pagi esok.
Menurut Guardiola, anak-anak buah Ole Gunnar Solksjaer itu dijangka mengulangi aksi sama ketika skuad The Citizens itu tewas 1-2 di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 7 Disember lalu.
"Ia (aksi) akan jadi hampir sama. Sudah tentu perlawanan di Old Trafford nanti akan berbeza berbanding aksi sebelum ini (di Stadium Etihad). Namun, mereka (United) adalah pasukan yang dibentuk untuk sentiasa 'berlari'.
"Apabila mereka (para pemain United) boleh 'berlari,' maka mereka adalah salah sebuah pasukan terbaik. Mereka memiliki (Daniel) James, (Mason) Greenwood, (Anthony) Martial, (Marcus) Rashford dan (Jesse) Lingard.
"Saya rasakan mereka akan 'berlari' beberapa minit atau sebanyak yang mungkin dan kami perlu minimumkan kesilapan. Kami perlu bersedia untuk itu tetapi kami juga perlu tampil dengan corak permainan kami sendiri," katanya.
Pada aksi EPL di Stadium Etihad bulan lalu, kesebelasan The Red Devils dilihat mempamerkan aksi cemerlang menerusi serangan balas pantas bagi membenam cabaran anak-anak didik Guardiola 2-1 menerusi jaringan Rashford dan Martial pada babak pertama.
Sedar The Citizens tidak boleh lagi mengulangi kesilapan, Guardiola berkata, dia akan mengarahkan kesebelasan pemainnya untuk mempamerkan aksi yang seakan-akan sama dengan The Red Devils.
"Saya tidak akan melakukan persiapan dengan hanya membiarkan mereka (para pemain United) 'berlari'. Kami akan cuba menjaringkan gol dan beraksi dengan permainan kami sendiri bagi mendapatkan keputusan yang baik," katanya.