LIGA Malaysia (Liga-M) mempunyai aura tersendiri untuk menarik minat pemain import berkualiti beraksi di negara ini, walaupun terdapat segelintir pengkritik melabel Liga-M sebagai Liga Petani (Farmers League).
Namun itu bukan gambaran sebenar apabila empat pemain import yang sedang dan pernah beraksi di Liga Super berjaya membawa Jordan ke pentas final Piala Asia Qatar 2023.
Bagi pemerhati sukan, Mohd Sadek Mustafa berkata, ia membuktikan kualiti dimiliki Liga-M tidak boleh dipandang rendah, namun turut berdepan beberapa masalah yang menyebabkan rating liga di negara ini jatuh.
"Ini sebenarnya petanda yang bagus, namun ada beberapa masalah yang saya sifatkan agak besar melanda liga kita untuk lebih berkembang dan maju," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Kemaraan Jordan ke pentas final Piala Asia menyaksikan Liga-M popular seketika selepas dua pemain iaitu Noor Al-Rawabdeh yang merupakan pemain Selangor FC dan Fadi Awad (PDRM FC) selain Yazan Al-Arab (bekas pemain Selangor) dan Mahmoud Al-Mardi (bekas pemain Kedah Darul Aman FC) berada dalam skuad Jordan yang menewaskan Korea Selatan untuk mara ke final.
Selain pemain yang beraksi untuk Jordan, ramai lagi pemain import yang beraksi di Liga Super iaitu dua pemain dari Johor Darul Ta'zim (JDT) Jordi Amat (Indonesia), Jalil Elias (Syria), Amirbek Juraboev (Kedah, Tajikistan), Soony Saad (Penang, Lebanon), dan Moses Atede (Kedah, Bahrain) dipanggik mewakili skuad kebangsaan masing-masing.
Malah, lebih membanggakan apabila Petrus Shitembi yang beraksi untuk Kuching City FC muncul satu-satunya 'wakil' Liga-M yang beraksi di kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) untuk negaranya Namibia.
Walaupun aura Liga-M itu dapat menarik ramai pemain import berkualiti, namun kedudukan liga di mata dunia agak teruk apabila berada di kedudukan ke-87 mengikut data yang dikeluarkan oleh Persekutuan Antarabangsa Sejarah dan Statistik Bola Sepak (IFFHS).
Mohd Sadek berkata, masalah tunggakan gaji menjadi antara sebab rating Liga-M jatuh dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu melihat langkah terbaik untuk mengatasinya.
"Selain masalah gaji yang ada beberapa kes dibawa ke FIFA, rata-rata pasukan yang beraksi di Liga-M tidak mempunyai padang latihan yang baik atau stadium yang bagus memberikan penarafan rendah kepada liga kita.
"Jika perkara ini dapat di atasi, saya yakin kita akan dapat meningkat lebih tinggi dan menarik lebih ramai pemain import yang lebih bagus kualitinya," ujarnya.
INFO
Liga Petani’ atau Farmers League merupakan istilah sindiran dalam kalangan penyokong bagi menggambarkan liga yang tidak berdaya saing antara kelab disebabkan pelbagai faktor seperti jurang kewangan, kekurangan bakat berkualiti, sumber terhad bagi perolehan pemain dan kualiti permainan keseluruhan yang dilihat lebih rendah.
Liga yang sering di label sebagai ‘Liga Petani’ adalah Ligue 1 (Perancis) dan Bundesliga (Jerman) apabila disifatkan tidak kompetitif dan hampir setiap tahun kejuaraan diungguli kelab sama.