"SEJUJURNYA apabila kita berbual dengan pasukan dunia, mereka respek kemampuan daya saing skuad negara setiap kali beraksi di pentas tertinggi.”
Itu reaksi bekas pemain negara, I Vikneswaran yang percaya jurulatih tempatan masih pilihan terbaik mengemudi skuad negara bagi mengakhiri kemarau beraksi di pentas Sukan Olimpik selepas kegagalan menyambar slot edisi Paris 2024 di Perancis.
Namun, Vikneswaran yang sebelum ini pernah mengendalikan beberapa pasukan saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) dan Piala Tun Razak mengakui terdapat beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi memantapkan semula tumpuan pasukan negara.
Jelasnya, pemain-pemain negara memiliki keupayaan berdaya saing dengan lawan berprestasi tinggi, cuma masih terdapat segelintir yang kurang keyakinan dengan kekuatan masing-masing.
"Nor Saiful Zaini, Sarjit Singh, Muhammad Dhaarma Raj, Stephen Van Huizen, Wallace Tan, K Gobinathan, Lim Chiow Chuan dan Arul Selvaraj antara mereka yang berpengalaman, selain kita memiliki jurulatih muda seperti Muhamad Amin Rahim dan Mohamad Sukri Abdul Mutalib.
"Sekiranya kita mengambil jurulatih luar belum tentu pencapaian pasukan dapat dikekalkan untuk jangka panjang, malah berkemungkinan tiada perpindahan ilmu hoki yang dapat dipelajari jurulatih tempatan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Sukan Sinar sebelum ini melaporkan jurulatih asing dilihat sebagai pilihan alternatif bagi membimbing skuad hoki lelaki negara setelah kontrak Arul Selvaraj berakhir selepas Speedy Tigers gagal melayakkan diri ke Paris 2024.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, peluang tersebut wajar diberikan kerana beliau tidak nampak calon sesuai dalam kalangan jurulatih tempatan.
Dalam pada itu, Vikneswaran berkata, pendekatan jangka pendek dan panjang juga penting dalam memastikan terdapat kesinambungan daripada skuad The Young Tigers ke The Speedy Tigers.
"Bagi unjuran jangka pendek kejuaraan seperti Piala Azlan Shah, Piala Sultan Johor, Sukan SEA dan Sukan Asia juga boleh diperkemaskan semula dalam memastikan kesinambungan.
"Namun untuk jangka panjang seperti Sukan Olimpik, kitaran seharusnya diberikan kepada dua kitaran Olimpik sebagai contoh Sukan Olimpik Los Angeles 2028 diikuti Australia 2032,” katanya.