SUATU ketika dahulu, nama Prabowo Subianto pernah digeruni sebahagian besar rakyat Indonesia.
Namun, golongan muda kini terpesona dengan perubahan mendadak Menteri Pertahanan itu daripada seorang bekas komander unit khas yang berdepan dakwaan melakukan pelanggaran hak asasi manusia kepada meme seorang ‘atok’ yang comel.
"Beliau jauh lebih tua, namun berjaya mencuri hati generasi kami,” kata penyokongnya, Albert Joshua, 25.
Prabowo, 72, yang masih lincah disebut-sebut sebagai calon pilihan menggantikan Presiden Joko Widodo atau Jokowi pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2024) Rabu depan.
Beliau menjanjikan lebih banyak kestabilan dan pembangunan ekonomi dengan meneruskan apa yang telah diusahakan pendahulunya.
Tinjauan pendapat juga berpihak kepada Prabowo dan beliau kekal mendahului dua pesaingnya, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, masing-masing berusia dalam lingkungan 50-an, selain berpengalaman sebagai gabenor untuk mengendalikan wilayah utama.
Kedua-duanya berkempen untuk jaminan pekerjaan, infrastruktur dan peranan diplomatik yang lebih besar buat Indonesia.
Sementara itu, Gibran Rakabuming Raka yang menjadi pasangan regu Prabowo dilihat sebagai ‘restu tersirat’ oleh Jokowi yang masih belum secara terbuka mengumumkan sokongannya terhadap mana-mana calon termasuk Ganjar yang mewakili partinya, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).
Terdapat juga segelintir pengundi muda yang bimbang jika kemenangan berpihak kepadanya gara-gara ‘kisah hitam’ melibatkannya sebelum ini.Mereka mendakwa Prabowo tidak pernah bertanggungjawab atas tuduhan penculikan dan membunuh aktivis prodemokrasi beberapa dekad lalu.
"Aksi comel yang disukai ramai tidak menjadikan seseorang itu wajar diangkat sebagai pemimpin yang layak mentadbir negara. Jika begitu pendapat sesetengah pihak, maka anda harus memilih anak kucing,” sindir seorang pengundi muda yang enggan identitinya didedahkan.
Imej lebih lembut
Kempen media sosial dilancarkan Prabowo juga agak unik kerana menampilkan kucing digelar Bobby yang turut mempunyai akaun Instagram sendiri dan digambarkan sebagai ‘patriot’.
Prabowo cuba mengikut aliran zaman dengan menari agak lincah di pentas sepanjang acara kempen beliau yang dikongsi secara meluas di TikTok.
Gara-gara aksi sempoi itu, kebanyakan pengguna media sosial menggelarnya ‘gemoy’. Malah, penyokong generasi muda menubuhkan ‘skuad gemoy’ yang didedikasikan khas buat Prabowo.
Media sosial telah menjadi platform untuk mendekatkan lagi beliau dengan penyokongnya memandangkan lebih separuh daripada 205 juta pengundi pada kali ini terdiri daripada golongan Milineal dan Gen Z.
Menurut data Meta, akaun rasmi Prabowo di Facebook dan akaun affiliate membelanjakan sebanyak AS$144,000 (kira-kira RM686,232) untuk pengiklanan sejak tiga bulan lalu.
Jumlah itu dikatakan hampir dua kali ganda kos digunakan Ganjar dan kira-kira tiga kali ganda yang dibelanjakan Anies.
"Saya jarang melihat gambar sebenar beliau kerana ia kini digantikan dengan karikatur gempal yang agak comel. Avatar baharu tersebut terpampang di seluruh negara. Begitulah cara kempen beliau melembutkan imejnya.
"Setakat ini idea itu benar-benar berjaya,” kata felo penyelidik, Yoes C Kenawas di Universiti Atma Jaya.
Sementara itu, Dedek Prayudi yang merupakan jurucakap kempen Prabowo menjelaskan, mereka cuba menarik golongan muda dengan kempen yang ‘menyeronokkan’.
"Politik boleh disampaikan melalui pelbagai kaedah yang berbeza. Ia bukanlah perkara yang buruk,” ujarnya.
Bagi pengundi Gen Z, Rahayu Sartika Dewi, dia tertarik dengan rancangan Prabowo yang mahu membangunkan sektor pertanian dan tenaga boleh diperbaharui.
"Kempen beliau sangat comel, seronok dan mudah didekati. Ia tidak terlalu berat seperti tahun-tahun sebelum ini,” jelasnya.
Prabowo pernah tewas kepada Jokowi pada Pilpres 2014 dan 2019 kerana imej ‘lelaki bengis’ dan tegas beliau.
Namun, kempen beliau pada kali ini nyata agak berbeza.
Pengundi muda juga terpukau dengan janji kempen beliau yang mahu menangani pengangguran dan kos sara hidup serta mahu menyediakan sebanyak 19 juta peluang pekerjaan untuk tempoh lima tahun akan datang jika terpilih menggantikan Jokowi.
Probowo mungkin ada harapan yang cerah untuk merealisasikan impiannya yang belum kesampaian sejak sembilan tahun lalu. - Agensi