Pempengaruh bawa mesej binasakan rakyat

Iklan
Tidak boleh nafikan, media sosial merupakan platform baharu yang boleh membantu anak-anak muda mencari pendapatan sampingan, sekali gus mengurangkan beban kewangan.

BARU-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenyataan seorang pempengaruh media sosial menerusi petikan video di aplikasi X.

Menurut lelaki itu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menuntut ilmu di sekolah sudah tiada nilai pada masa kini, sebaliknya ilmu fardu ain lebih penting.

Iklan
Iklan

"Bila aku lihat semula apa pengalaman aku di sekolah dahulu, tidak ada value (nilai) langsung. Sekolah, SPM semua kosong,” katanya seperti dipetik melalui video yang tular tersebut.

Belum pun reda isu pempengaruh tersebut yang mendapat kecaman pelbagai pihak, ia kemudian disusuli dengan satu lagi situasi.

Iklan

Seorang guru memuat naik kenyataan menerusi aplikasi X juga, menyatakan bahawa hampir semua pelajar di dalam satu kelasnya mendapat markah kosong ketika ujian.

Yang mengejutkan, rata-rata anak muridnya bercita-cita menjadi pempengaruh meskipun pencapaian akademik tidak begitu bagus.

Iklan

Melihat kepada dua situasi itu, sememangnya mengundang kegusaran khususnya ibu bapa dan guru-guru tentang anak-anak muda pada masa hadapan.

Semuanya kerana ideologi yang ditanam ke dalam minda mereka, kononnya menjadi pempengaruh boleh berjaya dalam hidup dan meraih pendapat lumayan.

Ditambah pula dengan pendapat tidak masuk akal dilontarkan pempengaruh itu tadi yang mendakwa pergi ke sekolah hanya membuang masa, sedikit sebanyak merosakkan pemikiran anak-anak ini untuk fokus dengan pelajaran di sekolah.

Kita tidak boleh nafikan, media sosial merupakan platform baharu yang boleh membantu anak-anak muda mencari pendapatan sampingan, sekali gus mengurangkan beban kewangan.

Ia juga boleh dijadikan platform mengasah bakat (soft skill) anak-anak menerusi kemahiran berkomunikasi, melontarkan pendapat dan berniaga.

Namun, sepatutnya ia tidak melangkaui tujuan asal anak-anak ini dihantar ke sekolah untuk menjadi orang berilmu.

Mengenai pendapat tiada nilai pergi ke sekolah, seharusnya dilihat dari pelbagai sudut pandangan.

Memang tujuan utama pergi sekolah untuk belajar dan menduduki peperiksaan, tetap lebih pada itu ia sebenarnya mendidik dan mengasuh anak-anak mengenai nilai adab, disiplin dan kemahiran bersosial.

Di sekolah juga murid-murid didedahkan dengan kemahiran matematik seperti cara berbelanja di kantin atau koperasi sekolah.

Ini adalah ilmu tambahan buat mereka tentang bagaimana menguruskan kewangan apabila sudah masuk bidang pekerjaan nanti.

Terdapat beberapa peraturan yang wajib mereka patuhi di sekolah, antaranya berpakaian kemas, tidak boleh berambut panjang bagi pelajar lelaki dan menghormati guru yang lebih tua.

Ini sebenarnya latihan sebelum menjejakkan kaki ke alam pekerjaan yang lebih banyak disiplin perlu dipatuhi.

Bayangkan jika mereka tidak mahu bekerja disebabkan tidak biasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Tidakkah itu akan meningkatkan kadar pengangguran negara?

Justeru, segala tanggapan negatif mengenai sekolah haruslah dihentikan agar ia tidak merosakkan fikiran anak-anak.

Perlu ditanamkan di dalam minda murid-murid bahawa pentingnya mereka untuk hadir ke sekolah.

Benar, tidak salah untuk mereka mencuba nasib dalam dunia media sosial dengan menjadi pempengaruh. Siapa tahu satu hari nanti berjaya mencipta nama dan akhirnya mampu menjana pendapatan sendiri.

Akan tetapi, jadilah pempengaruh yang boleh mempengaruhi orang lain dengan perkara-perkara positif.

Ramai juga pempengaruh yang bukan sahaja berilmu tetapi turut membawa pengikut mereka kepada perkara-perkara kebaikan, misalnya Khairul Aming yang turut menjadikan media sosial sebagai platform membantu orang susah.

Beliau yang mempunyai kelulusan tinggi dari universiti luar negara juga menekankan kepada anak-anak muda untuk menghabiskan pelajaran kerana itulah paling utama buat mereka bergelar seorang pelajar sekolah.

*Azleenda Sahaludin ialah wartawan Sinar Bestari