'Jangan keruhkan lagi keadaan'

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kanan: Dr Raduan

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose meminta pihak yang bukan dalam bidang akademik tidak mengeruhkan lagi keadaan berhubung isu soalan Kursus Hubungan Etnik (UUW235), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurutnya, perkara itu seharusnya tidak disebarkan dan dibincangkan secara umum, namun jika ada pihak tertentu berpendapat ia tidak sesuai, maka mereka perlu mengikut saluran yang betul untuk membuat pembetulan atau bantahan.

Iklan
Iklan

"Isu tersebut boleh diselesaikan di peringkat dalaman dan apa yang berlaku seharusnya dijadikan panduan pada masa akan datang supaya tidak berulang di mana-mana institusi pengajian tinggi.

"Apa yang saya lihat mungkin pensyarah terbabit tidak mempunyai sebarang niat sebaliknya melihat kepada senario semasa berhubung dengan mata pelajaran tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

Sebelum ini soalan peperiksaan itu menjadi tular di laman sosial sehingga menimbulkan kekecohan selepas Naib Presiden MIC, Sivarraajh Chandran mempertikaikan soalan itu di Facebook yang disifatkan tidak menghormati sensitiviti kaum.

Sabtu lalu, UniMAP menjelaskan soalan Kursus Hubungan Etnik (UUW235) yang menjadi kontroversi baru-baru ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Iklan

Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, UniMAP telah menjalankan siasatan terperinci menerusi satu jawatankuasa dianggotai oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Penasihat Undang-Undang, Pendaftar, Dekan Pusat Pengajian dan Dekan Pengurusan Akademik.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan terperinci yang dijalankan, panel penilai soalan yang dilantik oleh UniMAP yang terdiri daripada pelbagai bidang akademik dan kaum, malah kesemua soalan dalam kertas peperiksaan adalah selari dengan tajuk ‘Cabaran-cabaran Hubungan Etnik dan Isu-Isu Semasa’.

ARTIKEL BERKAITAN: Soalan kontroversi ikut SOP ditetapkan: UniMAP