KAJANG –"Dia renung saya agak lama pagi tadi, tak sangka renungan itu adalah petanda bahawa anak syurga saya akan pergi buat selamanya,” kata Mohd Shafiq Idrus, 39, bapa kepada bayi berusia 12 bulan, Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menderita penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) jenis 1.
Menurut Mohd Shafiq, seperti kelazimannya pada setiap pagi sebelum keluar bekerja dia akan meluangkan masa bergurau dengan anak bongsu dari tiga beradik itu.
"Selalu bila saya panggil nama,dia akan menoleh sekejap dan kemudian (sambung) tengok kartun (televisyen) tapi pagi tadi agak lain dia renung saya agak lama,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelas Mohd Shafiq, anaknya itu disedari sudah tidak bernafas ketika sedang tidur kira-kira jam 3.30 petang selepas ibunya melihat wajah Sufi agak kebiruan (pucat)
"Pukul 3 arwah baru selesai menyusu dan kemudian dia terus tidur.
"Selalu Sufi kalau ada masalah dia akan tercungap-cungap, macam sebelum ini dia pernah terkena jangkitan tapi kali ini memang tiada petanda langsung, mesin bantuan penafasan berfungsi macam biasa,” katanya
Tambah Mohd Shafiq lagi, dia reda dengan pemergian Sufi dan bersyukur kerana ALLAH SWT dapat meminjamkannya selama setahun satu bulan Sufi Syafrina sebagai anak dan ahli keluarganya.
Jenazah Sufi Syafrina selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan kira-kira jam 11 malam pada Khamis.
Kira-kira 300 jemaah, ahli kariah hadir menyempunakan sembahyang jenazah di Masjid Jamek,Kajang di sini selepas selesai solat Isyak.
Sinar Harian pada 23 Julai lalu melaporkan penderitaan anak bongsu daripada tiga beradik itu dan melancarkan Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina bagi mengumpul sumbangan RM9 juta untuk suntikan Zolgensma.
Sebelum ini, Sufi Syafrina bergantung kepada ubat Risdiplam yang berharga RM40,300 untuk tempoh 35 hari bagi mengekalkan tahap kesihatan, selain rawatan bioterapi di Hospital Shah Alam tiga hingga empat kali seminggu.
Sinar Karangkraf telah menyerahkan wang sumbangan berjumlah lebih RM220,000 kepada keluarga bayi itu menerusi Pelancaran tabung Sinar Harian Sinar Di Hati yang digerakkan sejak Julai tahun lalu.