SEREMBAN - Seorang lelaki warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan merasuah polis RM250 sebagai balasan supaya tidak dikenakan tindakan kerana menunggang motosikal tanpa lesen, Selasa lalu.
Tertuduh, Usman, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah memberikan suatu suapan, iaitu wang tunai RM250 kepada anggota polis yang bertugas di Balai Polis Sikamat di sini, jam 6.20 petang, 6 Februari lalu.
Ia sebagai dorongan kepadanya untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya, supaya anggota itu tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap tertuduh kerana didapati melakukan kesalahan memandu motosikal tanpa lesen memandu yang sah.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali tidak menawarkan sebarang jaminan kerana terdapat risiko untuk tertuduh melarikan diri lebih-lebih lagi pasportnya sudah tamat tempoh sejak tahun lalu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 14 Februari bagi sebutan semula dan tidak memberikan sebarang jaminan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.