Tiada siasatan rampasan 110kg jongkong emas di Tawau - Polis

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

KOTA KINABALU - Tiada siasatan dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap rampasan 110 kilogram jongkong emas di Lapangan Terbang Tawau pada Selasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, PDRM mengesahkan telah menerima laporan berhubung rampasan emas berkenaan.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, laporan itu telah diklasifikasikan dan dirujuk kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Jadi saya hanya boleh komen berkaitan dengan laporan polis, siasatan lanjut terserah kepada pihak kastam. Tiada siasatan," jelasnya kepada pemberita dalam sidang akhbar Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah rampasan emas tersebut tidak melibatkan bidang kuasa pihak polis.

JKDM pada Khamis mengesahkan pihaknya ada menerima serahan 110 kilogram jongkong emas yang dirampas di Lapangan Terbang Tawau.

Iklan

Jongkong emas itu dirampas bersama beberapa individu sebagai pembawa ketika hendak berlepas dari Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, JKDM turut mengesahkan bahawa tiada pelanggaran di bawah Akta Kastam atau perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta Kastam 1967 berhubung aktiviti terbabit.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata menggesa Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) perlu menjalankan siasatan segera berkaitan rampasan jongkong emas tersebut.

Menurut Sarifuddin, jika JMG gagal menjalankan siasatan, pihaknya akan membuat laporan kedua kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

"Kastam telah mengesahkah berhubung jongkong emas tersebut namun rakyat Sabah terutama di Tawau ingin mengetahui adakah pemilik syarikat perlombongan ini boleh menjalankan aktiviti jual dan beli emas tersebut dan adakah mereka memiliki lesen yang sah dikeluarkan JMG," katanya.

Beliau dalam pada itu mendakwa bahawa maklumat yang diperolehnya ialah lesen syarikat terbabit telah tamat tempoh sejak tahun lalu namun tiada tindakan permohonan pembaharuan dilakukan oleh syarikat perlombongan tersebut.