PETALING JAYA - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) akan meneruskan inisiatif bantuan kewangan kepada 200 keluarga yang kurang berkemampuan dari seluruh Malaysia menerusi program Sinar Kasih Ramadan (SKR) pada tahun ini.
Pengerusi program SKR, Datin Dr Hartini Osman berkata, setiap keluarga yang terpilih akan menerima wang tunai RM600 bagi kegunaan perbelanjaan berbuka dan bersahur sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, sejak dilaksanakan pada 2008, sebanyak 3,927 keluarga telah menerima manfaat daripada program tersebut.
"Objektif utama program ini untuk meringankan beban keluarga fakir miskin dan asnaf khususnya pada bulan berkenaan melalui sumbangan wang yang diterima daripada individu serta organisasi.
"Bagi tahun 2024, YBK berhasrat membantu mereka dengan nilai tersebut, di samping sumbangan barangan daripada penaja-penaja korporat yang bekerjasama dengan pihak kami.
"Maklumat mereka diperoleh daripada pelbagai sumber seperti pihak sekolah, ketua komuniti, rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan YBK yang mana setiap data ini dipastikan kesahihan serta kelayakannya sebelum disenarai pendek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran program SKR di YBK pada Jumaat.
Hadir sama, Pengasas YBK, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom; Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Sinar Karangkraf, Hashim Anang dan tetamu kehormat lain.
Tambah Hartini, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada individu, organisasi dan NGO lain untuk bersama-sama menaja keluarga berkenaan.
"100 peratus bantuan yang diberikan ini akan sampai kepada keluarga tersebut malah YBK tidak mengambil apa-apa pemotongan pengurusan kerana semua penghantaran adalah daripada pihak kami sendiri.
"Kalau ada yang nak menderma kotak rezeki atau makanan pun kami alu-alukan kerana kadang-kadang ada yang nak beri beras, bayar fidyah dan sebagainya.
"Penyerahan sumbangan ini akan dilaksanakan seminggu sebelum Ramadan dan laporan berkenaan penyerahan ini bakal dipaparkan di media sosial serta laman web YBK bagi menjamin ketelusan,” ujarnya.