Bolehkah sambut Tahun Baharu Cina, makan 'Yee Sang'?

Iklan
Dibolehkan makan 'Yee Sang' dengan syarat tidak menggunakan bahan haram seperti arak, babi dan najis.

HIDUP dalam kalangan masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama memberi suatu pengalaman yang menarik untuk dialami.

Bagaimanapun, kepelbagaian adat budaya masing-masing yang diamalkan menimbulkan persoalan kepada umat Islam, bolehkah ia diraikan?

Iklan
Iklan

Menyentuh isu ini, pendakwah, Ustazah Asma’ Harun memberi pencerahan mengenai hukum menyambut Tahun Baharu Cina dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

"Realitinya pada zaman ini, Tahun Baru Cina disambut bagi meraikan permulaan tahun baru dalam kalendar lunar Cina. Setiap tahun diwakili oleh satu zodiak haiwan. Tahun ini (2024) jatuh pada Tahun Naga Air.

Iklan

"Setiap tahun dikatakan mempunyai kelebihan tersendiri. Ia disambut secara berterusan selama 15 hari sebelum ditutup dengan Pesta Tanglung,” katanya dalam satu status yang dimuat naik di Facebook miliknya.

Menurut Ustazah Asma’, umat Islam perlu membezakan sama ada sesuatu perayaan itu melibatkan adat bangsa atau berkaitan dengan agama.

Iklan

Katanya, perayaan Tahun Baharu Cina merupakan sambutan tahun baru masyarakat Cina dan ia tidak melibatkan perayaan agama.

"Perayaan ini menjadi penanda aras suatu hubungan antara Muslim dengan golongan bukan Muslim. Syaratnya, kita tidak sekali-kali reda terhadap akidah mereka dan sambutan ini hanya sebagai tanda persahabatan serta atas dasar kemasyarakatan semata-mata," jelasnya.

USTAZAH ASMA' HARUN

Namun, perlu diingatkan, saudara baru (mualaf) yang meraikan sambutan ini perlu diniatkan atas dasar menziarahi, menghormati dan memuliakan keluarga sahaja, bukan meraikannya sebagai satu perayaan kerana pada dasarnya sambutan ini bukan sambutan perayaan umat Islam.

Menyentuh mengenai makanan ‘Yee Sang’, beliau memberitahu hidangan yang mencampurkan tujuh jenis warna makanan yang berlainan itu dibolehkan untuk memakannya bagi umat Islam dengan syarat.

"Sungguhpun begitu, ia harus dielakkan sekiranya tidak mendatangkan keperluan yang penting seperti individu yang tidak mempunyai kawan berbangsa Cina atau seumpamanya.

"Perlu juga dipastikan hal-hal berkaitan peralatan masakan dan (bahan) makanan yang digunakan supaya tidak digunakan peralatan yang sama untuk makanan yang haram,” katanya.

Bagaimanapun katanya, makanan terbaik adalah yang dimasak oleh orang Islam dan yang diyakini bahan serta cara penyediaannya.

Ujarnya, ucapan Gong Xi Fa Cai yang membawa maksud ‘Tahniah dan semoga mendapat rezeki’ juga dibolehkan kerana tiada percanggahan yang melibatkan akidah Islam.