BUKIT MERTAJAM - Jumlah kutipan zakat dilaksanakan Zakat Pulau Pinang pada tahun 2023 meningkat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM159.7 juta berbanding RM150.14 juta pada tahun 2022.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah itu merangkumi kutipan bagi zakat harta dan zakat fitrah tahun lalu.
"Jumlah kutipan zakat tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 6.37 peratus berbanding tahun 2022.
"Bagaimanapun, kutipan tersebut tidak mencapai sasaran yang mana sasaran kita adalah RM161 juta bagi tahun lalu.
"Namun, jumlah kutipan berkenaan telah mencapai 90 peratus," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat ZPP di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, prestasi kutipan zakat fitrah tahun 2023 meningkat 4.01 peratus iaitu daripada RM6.58 juta pada 2022 kepada RM6.84 juta.
"Bagi zakat harta pula, tahun lalu mencatatkan kutipan sebanyak RM152.86 juta berbanding RM143.55 juta pada 2022.
"Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 6.48 peratus," katanya.
Beliau berkata, jumlah pembayar zakat harta merekodkan penurunan iaitu seramai 75,298 orang atau syarikat pada tahun 2023 berbanding 77,895 pada 2023.
"Jumlah ini menunjukkan penurunan seramai 2,597 orang atau syarikat dengan peratusan 3.33 peratus," katanya.
Katanya, berbeza dengan zakat harta, jumlah pembayar zakat fitrah pada tahun lalu direkodkan meningkat.
"Jumlah pembayar zakat fitrah pada 2023 adalah seramai 829,304 orang berbanding tahun 2022 iaitu 808,589 orang.
"Jumlah pembayar ini meningkat seramai 20,715 orang atau sebanyak 2.56 peratus," katanya.
Mohamad menambah, kutipan zakat melalui Skim Sakinah pada tahun lalu direkodkan sebanyak RM57.1 juta berbanding RM55.3 juta bagi tahun 2022.
"Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM1.76 juta atau 3.18 peratus," jelasnya.
Beliau berkata lagi, jumlah kutipan zakat harta khususnya yang melibatkan zakat pendapatan, zakat perniagaan dan zakat wang simpanan mewakili 93.4 peratus daripada jumlah kutipan zakat harta.
"Jumlah kutipan zakat harta pada Disember mencatatkan 32.8 peratus daripada jumlah kutipan zakat harta tahunan.
"Jumlah pembayar zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyusut secara mendadak iaitu seramai 4,990 orang berbanding tahun 2022.
"Hal ini disebabkan momentum pembayaran zakat KWSP telah berkurangan secara signifikan kerana tiada lagi pengeluaran bersasar yang disediakan oleh KWSP seperti pengeluaran i-Sinar, i-Citra dan sebagainya," katanya.
Mohamad berkata, bagi tahun lalu, ZPP dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengagihkan RM173.4 juta berbanding RM155.17 juta pada 2022.
"Kadar peratusan peningkatan jumlah agihan adalah sebanyak 11.74 peratus.
"Sementara itu, seramai 43,367 individu atau institusi yang menerima zakat pada tahun lalu berbanding 40,240 individu atau institusi pada 2022.
"Berlaku peningkatan sebanyak 3,127 individu atau institusi dengan peratusan 7.77 peratus," katanya.
Kata beliau, jumlah keseluruhan agihan zakat sepanjang tahun 2023 telah mencapai sebanyak 97.96 peratus berbanding unjuran agihan tahun 2023.
"Jumlah ini mengambil kira jumlah agihan semasa sebanyak RM147.4 juta dan jumlah wang zakat yang belum diagihkan pada tahun sebelumnya iaitu RM25.98 juta.
"Jumlah agihan zakat ini telah merekodkan peningkatan sebanyak 11.73 peratus berbanding jumlah yang dicapai pada tahun 2022," katanya.