PUTRAJAYA - UMNO menolak sekeras-kerasnya cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Tegas Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.
"Apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, maka secara automatik penduduk yang menghuni kawasan tersebut akan dianggap sebagai orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya serta bahasa akan turut diperakukan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, cadangan tersebut hanya akan merosakkan keharmonian Kerajaan Perpaduan dan mencetuskan polemik tidak perlu di kalangan rakyat.
Bahkan katanya, ia tidak selari dengan dasar Malaysia Madani yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kor Ming mesti memahami bahawa isu tanah adalah isu maruah dan kedaulatan yang tiada tolak ansur bagi orang Melayu," jelasnya.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO kekal dengan prinsip sebagai benteng Melayu dan bumiputera dalam kerajaan.
"Kami tidak akan sesekali membenarkan sebarang isu yang mengganggu-gugat kesejahteraan rakyat dan membelakangkan hak setiap kaum yang telah dipaterikan dalam Perlembagaan," katanya.
Sebelum ini, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.
Ia mengundang kritikan pelbagai pihak yang mendakwa cadangan itu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum di negara ini.