PEMAIN badminton perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching menolak cuti Tahun Baharu Cina yang diberikan jurulatihnya bagi memastikan persiapan menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Setia Alam yang bermula Selasa depan, tidak terjejas.
Pemain berusia 21 tahun dari Miri, Sarawak itu berkata, dia cuma mengambil cuti separuh hari selepas sesi latihan pagi ini untuk meluangkan masa bersama keluarga sebelum menyambung latihan pada Sabtu.
"Ini bukan kali pertama kali saya menyambut hari perayaan seorang diri, dua tahun lalu saya juga sambut di Pulau Pinang kerana ada latihan di sana. Tetapi tahun ini keluarga saya datang ke Kuala Lumpur dari Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Jumaat.
Bagi pemain beregu wanita negara, Teoh Mei Xing, dia gembira kerana dapat meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga kali ini selepas tiga tahun tidak bersama ketika sambutan itu disebabkan komitmen sebagai atlet.
Menurut Mei Xing, dia diberikan cuti dua hari oleh jurulatih dan menggunakan kesempatan itu sebaiknya sebelum turun menggalas cabaran negara di BATC minggu depan.
"Selalunya, saya tak dapat raya sebab bila Tahun Baharu Cina sahaja mesti saya berada di kejohanan luar, jadi bukan setiap tahun boleh menyambut bersama keluarga, terutamanya makan besar,” katanya yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.
Ditanya mengenai persiapan pasukan negara di kejohanan itu, Mei Xing berkata, ia berjalan lancar dan semua pemain bersemangat untuk turun beraksi.
Menurutnya, meskipun berdepan cabaran sengit dari Thailand selepas diundi dalam Kumpulan Y bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun beliau dan rakan sepasukannya akan memberikan aksi terbaik bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Pada kejohanan BATC 2024, pasukan wanita negara dibarisi Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Ling Ching bagi kategori perseorangan, manakala bagi beregu pula, cabaran bakal digalas Pearly Tan-M Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Mei Xing-Tan Zhing Yi.
Pada edisi lepas, skuad wanita negara menamatkan saingan BATC dengan pingat gangsa selepas tewas kepada Korea Selatan 3-0 di pusingan separuh akhir. - Bernama