Gangguan bekalan air di Langkawi pulih secara berperingkat

Iklan
Bekalan air terawat untuk penduduk Langkawi dibekalkan dari LRA Sungai Baru, Perlis dan dihantar ke Tangki Pengimbang Penarak melalui paip dasar laut sepanjang 37 kilometer. Foto SADA

ALOR SETAR - Gangguan bekalan air di Langkawi pulih secara berperingkat selepas pelbagai tindakan segera dilakukan selain agihan bekalan dengan menggunakan lori dan tangki statik kepada pengguna.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, antara pelan tindakan segera ialah mengaktifkan pam penggalak di Empangan Malut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi mengurangkan kesan kepada pengguna akibat penyusutan paras air di Sungai Melaka.

"Genset digunakan sebagai sumber bekalan elektrik sementara untuk pam penggalak bagi memastikan bekalan air mentah ke Logi Rawatan Air (LRA) Padang Saga Tiga dan Kemoja secara berterusan.

Iklan

"Tekanan tinggi pam penggalak membolehkan sehingga 45 juta liter sehari (mld) air mentah dihantar ke loji, berbanding 30 mld menggunakan sistem aliran graviti. Ini akan meningkatkan pengeluaran air terawat dan bekalan air akan pulih secara berperingkat,” katanya di sini pada Jumaat.

Kerja-kerja pembaikan paip dasar laut dilakukan oleh penyelam melalui kaedah clamping. Foto SADA

Mohamad Yusoff berkata, punca berlakunya gangguan bekalan air di pulau legenda itu disebabkan kekurangan sumber bekalan air mentah akibat kemarau menyebabkan paras tangki Padang Saga, Kuah dan Dundong menurun selain kebocoran paip dasar laut.

Iklan

"Oleh itu, langkah lain termasuk membaiki paip dasar laut yang bocor berusia 27 tahun itu melalui kaedah clamping oleh pakar penyelam komersial.

"Kekerapan kebocoran paip dasar laut yang membawa bekalan air dari tanah besar ke Langkawi menyebabkan pembaziran hampir 45 peratus bekalan air terawat setiap hari.

"Ia menyebabkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) terpaksa mengeluarkan kos pembaikan yang tinggi setiap kali kebocoran berlaku,” katanya.

Menurutnya lagi, diharap pelaksanaan projek pembaikan paip dasar laut secara menyeluruh yang dijangka siap pada Januari 2025 kelak dapat mengatasi masalah kebocoran tersebut, sekali gus meminimumkan gangguan bekalan air di Langkawi.

"Kerja pembaikan paip dasar laut hanya boleh dilakukan pada waktu tertentu, mengambil kira jendela pasang surut laut serta kelulusan daripada Jabatan Laut Malaysia.

"Namun hasil daripada pembaikan selama dua hari, SADA jangkakan pertambahan antara enam mld hingga lapan mld bekalan air terawat dapat dihantar ke Tangki Pengimbang Penarak, Langkawi," katanya.

Mohamad Yusoff memaklumkan, lebih 60 peratus bekalan air terawat yang digunakan penduduk di Pulau Langkawi dibekalkan dari LRA Sungai Baru, Perlis dan dihantar ke Tangki Pengimbang Penarak melalui paip dasar laut sepanjang 37 kilometer.

"Penyelesaian jangka pendek pula membabitkan pembukaan bilik gerakan dilanjutkan sehingga 10 malam, serta penghantaran lori tangki ke kawasan terjejas.

"Tambahan lori kontrak kepada empat buah lori selain kerja-kerja pemantauan di kawasan terjejas oleh unit pemantau yang ditubuhkan. Ini termasuk tambahan staf sokongan daripada beberapa seksyen lain bagi membantu penghantaran air lori tangki,” jelasnya.

Pengaktifan pam penggalak di Empangan Malut. Foto SADA

Menurutnya lagi, untuk menampung keperluan, lima buah Lori kontrak (tambahan) dan tiga lori kontrak 1,200 gelen dibawa ke Langkawi dari tanah besar.

"Logistik lain termasuk sebuah lori jumbo (7,000 gelen) untuk pembinaan statik serta empat tangki statik dan empat buah pam lori,” ujarnya.

Mohamad Yusoff berkata, SADA juga giat menjalankan kerja-kerja mengesan kebocoran di kawasan 'hotspot' sekitar Langkawi melalui Program Pengesanan Kebocoran Secara Aktif.

Sebelum ini, beberapa kawasan di Pulau Langkawi mengalami gangguan bekalan air yang berpunca daripada ketidakcukupan sumber air mentah untuk diproses berikutan fenomena El Nino yang melanda negara khususnya di utara Semenanjung.

Antara kawasan terjejas ialah Pekan Kuah, Kisap, Kilim, Perana, Bayas, Ulu Melaka, Temoyong, Pantai Cenang, Pantai Tengah dan kawasan sekitar.