Saiz kontinjen ke Paris 2024 mungkin kecil daripada jangkaan

Iklan
Sukan Olimpik Paris 2024 - Foto AFP

SAIZ Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, berisiko menjadi lebih kecil berbanding beberapa edisi terdahulu selepas beberapa nama besar gagal melayakkan diri, mengikuti langkah skuad hoki lelaki.

Ia susulan tiada seorang pun atlet penerjun wanita yang berjaya melayakkan diri ke Olimpik sejak edisi Sydney 2000 manakala bagi atlet penerjun lelaki, setakat ini, hanya Bertrand Rhodict Lises yang layak bagi acara 10m platform lelaki menerusi Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lepas.

Iklan
Iklan

Kejutan paling besar adalah ratu terjun negara dan pemenang pingat dua kali, Datuk Pandelela Rinong serta dua lagi harapan negara Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee terlepas peluang terakhir kelayakan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu ini.

Jellson Jabillin dan Enrique Maccartney Harold berpeluang mendapatkan kelayakan dalam 10m platform individu, apabila memulakan kempen di pusingan saringan di Doha, hari ini.

Iklan

Sejak edisi 2000, Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya tiga wakil dalam sukan terjun, manakala edisi London 2012 dan Rio 2016 masing-masing enam dan tujuh penerjun.

Pandelela meraih gangsa 10m platform wanita pada edisi 2012, sebelum membentuk gandingan dengan Cheong Jun Hoong untuk merangkul perak 10m platform seirama wanita, empat tahun kemudian di Rio.

Iklan

Sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) menjangkakan seramai 25-30 atlet layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Selepas 40 atlet mewakili negara di Sydney 2000 dengan hampir separuhnya pasukan hoki, saiz kontinjen Malaysia pada Olimpik Athens 2004 adalah 26, Beijing 2008 (32), London 2012 (30), Rio 2016 (32) dan Tokyo 2020 (30).

Namun, pada kali ini timbul kerisauan bahawa kontinjen negara akan berkurangan apabila nama-nama besar dalam sukan terjun tidak melayakkan diri, selain atlet berpengalaman bagi sukan memanah, Khairul Anuar Mohamad dan pelayar Khairulnizam Mohd Afendy juga masih belum mengesahkan tiket.

Selain Bertrand, hanya empat atlet lain yang telah layak iaitu pemanah recurve wanita Ariana Nur Dania Zairi, Nur Shazrin Latif (pelayaran wanita), Nur Aisyah Mohamad Zubir (berbasikal lebuh raya wanita), dan Johnathan Wong (menembak lelaki), manakala atlet-atlet lain masih dalam proses melayakkan diri.

Berdasar ranking semasa, badminton dijangka menghantar wakil paling banyak.

Pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong, serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Goh Jin Wei berada dalam kedudukan untuk meraih tiket ke Paris.

Bagi acara berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut dijangka layak ke temasya terbesar dunia itu.

Proses kelayakan bagi olahraga, ping pong, menembak, pelayaran, memanah dan renang juga masih berlangsung, dengan harapan beberapa lagi wakil negara mampu mengesahkan tiket secara merit atau wildcard.

Temasya Olimpik 1960 Rom dan 1988 Seoul mencatatkan penyertaan paling rendah bagi Malaysia apabila hanya masing-masing sembilan atlet negara beraksi, manakala 62 atlet beraksi di temasya Tokyo 1964. - Bernama