IPOH - Polis Perak sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang lelaki dipukul ketika dalam tahanan seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit ditahan pihak polis pada 9 Januari lalu bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita mendakwa diugut oleh enam lelaki yang meminta wang perlindungan.
Menurutnya, lelaki terbabit telah dituduh di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh pada 15 Januari lalu dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
"Semasa dalam tahanan pihak polis pada 9 Januari 2024 yang lalu, lelaki tersebut telah membuat satu laporan yang mendakwa dia telah dipukul dan dicederakan oleh pihak polis ketika dalam tahanan.
"Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan menyiasat dakwaan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang penyebaran tuduhan terhadap pihak polis.
Menurutnya, sebarang kegiatan jenayah perlu dilapor melalui saluran yang ditetapkan untuk diambil tindakan.
Jelasnya, sebarang kegiatan yang membelakangkan undang-undang disifatkan sebagai helah untuk menakut-nakutkan orang ramai bagi kepentingan tertentu.
Terdahulu, video berdurasi 2 minit 41 saat itu tular di aplikasi TikTok mendakwa seorang lelaki dipukul pihak polis ketika dalam tahanan.